Tapak pembinaan diserbu, syaki curi air

Lokasi serbuan di Sendayan. (Gambar kecil: Serbuan daripada SPAN dan Sains.)
A
A

SEREMBAN - Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyerbu sebuah tapak pembinaan di Bandar Sri Sendayan, kerana disyaki mencuri air dengan membuat penyambungan secara haram, semalam.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail berkata, operasi diketuai Pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan SPAN, Mohd Fadzill Othman bersama sepasukan pegawai dan anggota SPAN serta Unit Penguatkuasaan Sains melakukan serbuan lebih kurang jam 9.30 pagi.

"Sebaik tiba, pihak penguat kuasa mendapati kontraktor pembinaan berkenaan telah melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip jenis 'High Density Polyethlene' (HDPE) bersaiz 32mm.

"Hasil siasatan lanjut juga mendapati akaun premis telah dikenakan tindakan pemotongan pada 10 Julai lalu akibat tunggakan yang tinggi.

"Sumber bekalan air melalui penyambungan tidak sah itu didapati digunakan di beberapa point penyambung untuk kegunaan harian pekerja di rumah kongsi, kantin dan lima buah tangki simpanan air," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, berdasarkan ujian klorin di lokasi, terbukti bekalan air di tapak pembinaan itu adalah air terawat milik Sains.

"SPAN menyita paip HDPE yang digunakan di lokasi sebagai bahan bukti dengan jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung Sains melebihi RM19,000.

"Kes ini seterusnya disiasat di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, jika disabitkan kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Dalam pada itu Sains akan mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan tanpa mengira kes yang melibatkan pengguna komersil mahu pun domestik.

"Tindakan tegas ini merupakan salah satu langkah berterusan dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil atau pun Non Revenue Water (NRW).

"Susulan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol Sains 1-800-88-6982.

Setiap maklumat peribadi pemberi maklumat akan dirahsiakan oleh pihak Sains," katanya.