Bukan maksud Azmin tak sokong Anwar jadi PM: Johari

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyokong Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal bukanlah menyimpan maksud tersirat kononnya beliau menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Biro Politik PKR, Datuk Johari Abdul berkata, kenyataan Mohamed Azmin itu hanyalah mahukan Dr Mahathir menghabiskan penggal pemerintahan dan apabila Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tiada masalah untuk beliau menerima Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.

Menurutnya, beliau bagaimanapun mengingatkan Mohamed Azmin tentang keputusan Majlis Presiden PH yang memuktamadkan sebelum ini bahawa Dr Mahathir hanya mengemudi negara selama dua tahun sahaja.

“Kenyataan Mohamed Azmin itu bukanlah membawa maksud beliau tak sokong Anwar jadi Perdana Menteri, beliau cuma kata, mahu Dr Mahathir habiskan penggal pemerintahan.

“Makna kata, habis saja penggal ini, Mohamed Azmin akan terima Anwar sebagai Perdana Menteri. Bukan maksud beliau tak sokong Anwar jadi Perdana Menteri,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya sama ada pemimpin PKR lain senada dengan Mohamed Azmin untuk memberikan sokongan penuh kepada Dr Mahathir terus jadi Perdana Menteri sehingga akhir penggal, Johari berkata, beliau tidak maklum tentang pendirian pimpinan lain.

“Tak tahu orang PKR lain akan sokong pendapat Mohamed Azmin atau tidak. Orang sekarang ini macam-macam pandangan.” katanya.

Artikel Berkaitan: