KK Seberang Tayor dinaik taraf

Mohd (lima dari kiri) pada Majlis Perlancaran Perkhidmatan KK Seberang Tayor hari ini.
Mohd (lima dari kiri) pada Majlis Perlancaran Perkhidmatan KK Seberang Tayor hari ini.
A
A
A

KEMAMAN - Klinik Kesihatan (KK) Seberang Tayor bernilai hampir RM6 juta yang dinaik taraf daripada klinik desa dan siap dibina menjadi satu lagi mercu pembangunan di Kemaman.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata, klinik berkenaan menjadi KK yang ke-12 yang ada di daerah ini dan dibina bagi mengatasi masalah klinik desa yang sering ditenggelami banjir pada setiap tahun.

Menurutnya, setiap tahun Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman terpaksa membantu mengurus perpindahan awal operasi dari klinik desa ke klinik sementara di Bangunan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Seberang Tayor bagi memastikan perkhidmatan diteruskan kepada penduduk walaupun dalam keadaan banjir.

"Klinik desa yang lama pernah ditenggelami air di dalam klinik sehingga paras 2.1 meter menyebabkan kerosakan aset perubatan klinik termasuk dokumen-dokumen pesakit. Masalah ini dapat diatasi dengan siapnya klinik baru di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

"Dengan lokasinya yang berada di atas bukit saya pasti kita tidak lagi akan menghadapi masalah untuk perkhidmatan kesihatan," katanya pada majlis pelancaran klinik itu di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Kesihatan, Muhamad Zamani Mohd Ali; Jurutera Daerah Kemaman, Ir Kamaruddin Hassan dan Pengrus Felda Seberang Tayor, Rohaizat Othman.

Mohd berkata, klinik itu juga dinaiktaraf perkhidmatan meliputi klinik kesihatan ibu dan anak, rawatan pesakit luar dan kecemasan.

"Klinik ini memberi kemudahan kepada hampir 2,700 penduduk di kawasan berkenaan meliputi keseluruhan Kampung Seberang Tayor, Kampung Hulu Seberang Tayor dan Kampung Hilir Seberang Tayor.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih kepada pihak Felda Seberang Tayor kerana sudi memberikan tanah milik mereka seluas 0.9 hektar untuk dibina bangunan klinik itu secara kekal," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, sebanyak empat projek sama dilaksanakan di negeri ini bagi mengatasi masalah banjir.

"Selain klinik ini sebuah lagi klinik iaitu KK Pasir Gajah juga sudah siapnya sepenuh dan telah beroperasi. Dua klinik lagi iaitu KK Pasir Raja di Dungun dijangka siap akhir tahun ini dan KK Kuala Jenggal juga di Dungun dalam proses pengambilalihan tanah," katanya.