Penjualan ladang PT Pinang belum muktamad

Ahmad Faizal (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Datuk Shahrom Abdul Malik ketika Majlis Jasamu Dikenang Sesi 2 Tahun 2019 di sebuah hotel hari ini.
Ahmad Faizal (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Datuk Shahrom Abdul Malik ketika Majlis Jasamu Dikenang Sesi 2 Tahun 2019 di sebuah hotel hari ini.
A
A
A

IPOH - Penjualan Ladang PT Pinang di Palembang, Indonesia milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) masih belum dimuktamadkan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usaha penjualan ladang tersebut telah bermula pada pentadbiran kerajaan terdahulu tetapi dihentikan selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih negeri Perak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Menurutnya, bagaimanapun setelah meneliti keadaan syarikat tersebut, beberapa perkara telah diambil kira antaranya tempoh pegangan tanah yang hampir luput iaitu dalam tempoh 15 tahun sebelum memohon semula tempoh pajakan daripada kerajaan Indonesia.

"Apabila mahu menambah tempoh pajakan, kita perlu menyerahkan kembali 20 peratus keluasan ladang kembali kepada kerajaan Indonesia. Perkara itu akan menyebabkan kita mempunyai pegangan minoriti walaupun sekarang ada pegangan majoriti.

"Kita mendapati pokok kelapa sawit yang memberi hasil kepada syarikat sekarang ini perlu ditanam semula dalam jangka masa pendek maka memerlukan perbelanjaan cukup besar," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Jasamu Dikenang Sesi 2 Tahun 2019 di sebuah hotel, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab gesaan yang dilontarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib supaya kerajaan Perak tidak menjual Ladang PT Pinang seluas 15,000 hektar dengan tanaman sawit milik PPPNP di Palembang, Indonesia.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi PPPNP berkata, setelah perbelanjaan, risiko dan sebagainya pada masa akan datang, ahli lembaga pengarah PPPNP berpandangan bahawa peluang harus dibuka kepada pembida untuk membeli ladang berkenaan pada harga terbaik.

Katanya, hasil daripada penjualan tersebut akan gunakan untuk membeli ladang lain dan memberikan keutamaan kepada ladang-ladang di dalam negara.

Artikel Berkaitan:

"Tapi setakat ini tidak ada keputusan (siapa) pembeli dan sebagainya setakat ini. Jadi saya harap mana-mana pihak bersabar," katanya.

Dalam kenyataan sebelum ini, Mohd Khusairi berkata, kerajaan negeri sedang berusaha untuk menjual Ladang PT Pinang kepada sebuah syarikat yang berdaftar di Bursa Malaysia secara rundingan terus dan dijangka akan dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini.