Bersatu cadang tubuh enam lagi bahagian di Sarawak: Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua, kiri) melambai tangan ke arah penghuni Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sarawak ketika melawat kompleks perumahan berkenaan hari ini. - Foto Bernama
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua, kiri) melambai tangan ke arah penghuni Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sarawak ketika melawat kompleks perumahan berkenaan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bercadang untuk menubuhkan enam lagi bahagian baharu di Sarawak dalam masa terdekat, kata Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Beliau berkata, penubuhan enam kerusi ini akan menjadikan keseluruhannya sebanyak 12 bahagian Bersatu di negeri ini.

"Kita tidak mahu terburu-buru untuk menubuhkan kesemua bahagian di 31 kerusi Parlimen di Sarawak ini kerana Bersatu merupakan parti yang baharu lagi.

"Perkara ini juga telah saya maklumkan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen untuk membincangkan pengagihan kerusi tersebut bagi dibawa ke peringkat nasional untuk dibincangkan bersama parti komponen PH yang lain,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Perumahan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Jalan Badruddin di sini, hari ini.

Ditanya mengenai kerusi yang akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN12) yang dijangka diadakan pada awal tahun 2021, Muhyiddin berkata ia masih lagi dalam perbincangan.

Katanya, setakat ini, penubuhan bahagian Bersatu yang telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) adalah di Santubong, Stampin, Sri Aman, Saratok, Kota Samarahan dan Bintulu. -Bernama

Artikel Berkaitan: