Hati-hati dengan hati

Gambar hiasan. - Foto internet
Gambar hiasan. - Foto internet
A
A
A

SHAH ALAM - Umat Islam diingatkan agar sentiasa berhati-hati dalam menjaga hati supaya terus hidup dengan mengingati ALLAH SWT.

Pendakwah, Datuk Dr Norhafizah Musa berkata, terhalang daripada mengingati ALLAH SWT merupakan antara azab yang diturunkan segera di dunia.

"Terhalang yang bagaimana? Kita nak ingat pada ALLAH, baca al-Quran, buat qiamullail, zikir, tasbih dan sebagainya, tetapi seakan-akan sukar atau berat untuk dilakukan.

"Dalam keadaan ini, eloklah kita duduk sebentar, cakap pada diri sendiri, dosa, maksiat dan kegelapan hati yang mana yang menghalang sampai terlalu sukar untuk kita membuat perkara yang boleh mengingati ALLAH," katanya dipetik menerusi video Jom to Jannah bertajuk Hati Hidup vs Hati Mati dalam laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Norhafizah berkata, menurut tokoh tarekat sufi terkemuka dunia, Ibnu Atha'illah as-Sakandari, antara tanda-tanda orang yang hatinya telah mati adalah;

Pertama; Tidak berasa sedih apabila terluput daripada melakukan sesuatu kebaikan.

Kedua; tidak rasa menyesal tatkala hanyut dalam kelalaian apabila terjebak dalam dosa serta maksiat.

Justeru, Norhafizah berkata, adalah penting supaya umat Islam bermuhasabah diri supaya sedar akan kesilapan dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Tujuan kita berbuat begitu supaya kita cepat sedar pasti ada dosa yang kita lakukan dan masih belum bertaubat. Boleh jadi, ada amanah yang telah dikhianati, janji yang dimungkiri, ada tanggungjawab tak dilaksana sebaiknya, dosa melibatkan penghurusan hati, suami isteri, pengurusan harta dan sebagainya.

"Sebab itu kita rasa terseksa sehinggakan terhalang daripada mengingati ALLAH. Kalau hati kita mati, segera berbuat sesuatu dengan taubat, istighfar, cari ilmu, merintih dan merayu kepada ALLAH," katanya.

Dalam pada itu, Norhafizah berkata, menurut Dr Said Ramadan Al-Bouti, hati yang hidup adalah hati yang dipenuhi perasaan cinta dan rindu kepada ALLAH SWT serta takut kepada-Nya.

"Jika hati kita hidup, istiqamahlah menjaga nikmat ini sebaik-baiknya," katanya.