KDN laksana proses permohonan warganegara penduduk Sarawak

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan sendiri tugas memproses permohonan mendapatkan status kewarganegaraan bagi anak penduduk negeri ini dan tidak lagi memerlukan bantuan Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan Sarawak.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata KDN juga telah memutuskan menubuhkan satu pasukan petugas khas di peringkat ibu pejabatnya untuk segera menyelesaikan semua perkara berkaitan permohonan terbabit termasuk dari Sarawak.

"Kita jangka sebahagian besar (permohonan terbabit) dapat kita selesaikan (oleh pasukan petugas khas itu) akhir tahun ini, satu bahagian daripadanya, yang lain-lain itu kita akan selesaikan dalam tempoh yang segera, maka sebab itu kita berpendapat tidak ada keperluan untuk kita meneruskan jawatankuasa (khas kewarganegaraan) di peringkat negeri,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching, di sini, hari ini.

Muhyiddin mengulas kenyataan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah yang mahu penjelasan beliau tentang surat KDN bertarikh 22 Julai lepas menyatakan tidak meneruskan kewujudan Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan Sarawak.

Jawatankuasa khas terbabit ditubuhkan sejak Oktober 2016 dan dianggotai Fatimah serta dua menteri mudanya bagi membantu penduduk negeri ini memohon status kewarganegaraan bagi anak mereka dari KDN di bawah Perkara 15 (A) Perlembagaan Persekutuan.

"Urusan pendaftaran, permohonan dan pemprosesan kewarganegaraan itu terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan bukan di bawah kerajaan negeri dan Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan (Sarawak) yang lepas itu diwujud untuk membantu.

Katanya negeri lain tidak ada menubuhkan jawatankuasa khas kewarganegaraan kecuali Sarawak yang memohonnya di bawah kerajaan pusat sebelum ini.

Sementara itu, salah seorang ibu kepada anak lelaki yang menerima Surat Kelulusan Permohonan kewarganegaraan di UTC Kuching, Angelina Sinyang berkata beliau amat gembira menerima surat terbabit bagi anak angkatnya, Aden, 4, setelah empat tahun menunggu kelulusan permohonan surat itu yang dipohon selepas proses pengangkatan selesai.

Artikel Berkaitan:

"Saya sangat gembira, ini (surat) bagaikan hadiah hari jadi saya ke-44 yang disambut semalam," katanya yang juga bekas Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Beliau berkata dengan adanya surat terbabit beliau tidak lagi akan menghadapi masalah berkaitan dokumen bagi membawa anaknya keluar dari Sarawak seperti sebelum ini. -Bernama