RM1.13 bilion dipindahkan ke akaun Najib antara 2011 dan 2013

Bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 48, antara saksi yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi bagi prosiding perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
 - Foto BERNAMA
Bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 48, antara saksi yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi bagi prosiding perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
 - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pegawai bank yang menguruskan akaun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa sebanyak RM1.13 bilion telah dipindahkan ke akaun Najib antara 2011 dan 2013.

Joanna Yu Ging Ping, 48, yang juga bekas Pengurus Perhubungan AmBank berkata Najib menerima AS$369.99 juta menerusi beberapa pemindahan wang antara 2011 dan 10 Januari 2013.

Saksi ke-54 itu berkata demikian semasa diperiksa balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh, pada hari ke-45 perbicaraan Najib terhadap tujuh pertuduhan menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit: Jumlah semua mata wang asing yang dipindahkan ke akaun Najib yang bernombor akhir 694 ialah AS$369.99 juta?

Yu: Ya.

Harvinderjit: Dan jumlah itu bersamaan dengan RM1.136 bilion?

Yu: Ya.

Sebelum itu, Yu juga mengesahkan bahawa AS$100 juta telah dipindahkan ke akaun semasa Najib yang nombor akhirnya 694 itu pada 2011.

Artikel Berkaitan:

Harvinderjit menyoal Yu untuk mengesahkan bahawa akaun Najib menerima kira-kira AS$100 juta pada 2011, menerusi dua pemindahan wang sebanyak AS$10 juta masing-masing, satu pemindahan sebanyak AS$50 juta dan satu lagi pemindahan wang sebanyak AS$30 juta dan saksi berkenaan mengesahkan jumlah itu.

Sementara itu Yu berkata ahli perniagaan yang juga orang buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low memainkan peranan penting dalam membuat keputusan bagi pengurusan akaun Najib.

Yu berkata bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil yang juga pemegang mandat bagi akaun-akaun itu seolah-olah seperti seseorang yang hanya menjadikan arahan-arahan itu rasmi.

Harvinderjit: Kamu kata "Jho menghantar kepada saya semua arahan-arahan ini, saya katakan kepadanya supaya memberitahunya kepada Nik Faisal. Kenapa kamu menyuruh Jho?

Yu: Pada sikiran saya, mereka telah membincangkan perkara itu.

Harvinderjit: Perbualannya ialah kamu menerangkan kepada seseorang yang tiada pengetahuan mengenainya?

Yu: Mungkin...ya.

Harvinderjit: Saya menganggap kamu mendapat semua maklumat ini daripada Jho dan kamu menjadikannya rasmi dengan Nik Faisal?

Yu: Ya.

Harvinderjit: Adakah kamu bersetuju bahawa arahan-arahan itu datang daripada Jho dan Nik Faisal hanya menjadikannya rasmi?

Yu: Nampaknya macam itulah.

Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. -Bernama