Pekerja maut: Syarikat kapal didenda RM35,000

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Sebuah syarikat pembinaan kapal terkemuka didenda RM35,000 selepas didapati cuai sehingga menyebabkan seorang pekerjanya maut.

Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd sebagai majikan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak selepas berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 10 (e) Akta Kilang dan Jentera 1967.

Berdasarkan fakta kes, syarikat tersebut sebagai majikan gagal memastikan lubang lantai kerja ditutup atau dipagar dengan selamat sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan maut membabitkan pekerja.

Kemalangan tersebut berlaku pada 9 April 2019 jam 3.45 petang ketika pekerja syarikat itu sedang melakukan kerja-kerja pembagasan di dalam blok kapal.

Mangsa, Sabaruddin Hassan, 51, terjatuh pada ketinggian kira-kira tiga meter dari lubang di lantai blok kapal ke lantai ruang pembagasan sehingga menyebabkan kecederaan di kepala dan mulut sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh pada 10 April 2019.

Mohd Sidek Zambri mewakili Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Hakim Norashima Khalid kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM35,000 atau lapan bulan penjara jika denda gagal dibayar.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKKP Perak, Hasan Abdul Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: