Bersatu Tangga Batu bergolak?

Rakaman video berdurasi 3 minit 52 saat mengenai kekecohan yang berlaku di luar dewan sebelum mesyuarat itu serta tindakan kumpulan terbabit menyerbu bagi mendapatkan kenyataan daripada Mohd Rafiq turut tular dalam laman sosial sejak hari ini.
Rakaman video berdurasi 3 minit 52 saat mengenai kekecohan yang berlaku di luar dewan sebelum mesyuarat itu serta tindakan kumpulan terbabit menyerbu bagi mendapatkan kenyataan daripada Mohd Rafiq turut tular dalam laman sosial sejak hari ini.
A
A
A

MELAKA - Mesyuarat Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membabitkan beberapa cawangan dalam Bahagian Tangga Batu di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini semalam kecoh apabila sekumpulan ahli jawatankuasa (AJK) bahagian itu menyatakan tidak puas hati terhadap Ketua Bahagiannya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Sekumpulan lebih 40 ahli Bersatu dari bahagian itu termasuk Timbalan Ketua Bahagian, Hamidi Harun; Naib Ketua Bahagian, Lal Saberi Lal Muhammad bersama 10 AJK dalam bahagian tersebut itu mendakwa mereka sebagai ahli parti cawangan Krubong hanya dimaklumkan mengenai mesyuarat itu beberapa jam sebelum ia bermula.

Menurut Lal Saberi, sebagai ahli mereka sepatutnya dimaklumkan mengenai mesyuarat tersebut namun apa yang mengejutkan, nama mereka juga tiada dalam senarai jawatankuasa yang sepatutnya hadir pada program tersebut.

"Saya sebagai Ketua PDM (Pusat Daerah Mengundi) Krubong yang sepatutnya memimpin ahli Bersatu di cawangan Krubong hanya dimaklumkan mengenai mesyuarat itu pada jam 11 pagi sedangkan ia bermula jam 2 petang.

"Sehubungan itu, saya bersama timbalan ketua bahagian dan 10 ahli jawatankuasa bersama kira-kira 40 ahli datang ke mesyuarat itu untuk mendapatkan penjelasan daripada ketua bahagian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Rakaman video berdurasi 3 minit 52 saat mengenai kekecohan yang berlaku di luar dewan sebelum mesyuarat itu serta tindakan kumpulan terbabit menyerbu bagi mendapatkan kenyataan daripada Mohd Rafiq turut tular di laman sosial sejak hari ini.

Kumpulan tersebut dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan Mohd Rafiq yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka yang didakwa mereka melanggar tiga fasal dalam perlembagaan parti itu iaitu tidak memanggil ahli untuk menghadiri persidangan dalam tempoh 14 hari, setiausaha bahagian tidak memaklumkan mengenai panggilan mesyuarat serta mengadakan mesyuarat tanpa memaklumkan kepada ahli.

Kata Lal Saberi, mereka datang ke mesyuarat semalam bukan untuk membuat kecoh sebaliknya mengikut Fasal 9.2 perlembagaan parti iaitu ahli-ahli mempunyai hak untuk bersuara.

Artikel Berkaitan:

"Mohd Rafiq telah melanggar tiga fasal iaitu Fasal 20.6; Fasal 21.7.3.5 dan Fasal 21.71.4 dan kami akan membuat laporan kepada pucuk pimpinan parti mengenai perlanggaran perkara ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Rafiq dalam kenyataannya memaklumkan, walaupun ada provokasi pihak yang membawa budaya gangsterisme, mesyuarat Penubuhan dan Persidangan Cawangan Bukit Rambai, Pantai Puteri, Bukit Terendak dan Krubong Bersatu Bahagian Tangga Batu berjalan dengan lancar.

"Walaupun terpaksa menunggu sehingga dua jam sebelum dapat memulakan persidangan, perwakilan dan ahli masih setia menunggu sehingga persidangan selesai dan berjaya.

"Saya harap Lembaga Disiplin parti dapat bertindak tegas kepada mereka yang menjejas dan memalukan imej parti dengan bertindak menghuru-harakan dan menularkan video dengan niat mensabotaj perjalanan persidangan," katanya.