Harap ada dana tambahan Sukma 2020: Syed Saddiq

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman ditemani Exco Kerajaan Johor, Sheikh Umar Ali melawat tapak projek venue Sukma 2020 Johor, hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman ditemani Exco Kerajaan Johor, Sheikh Umar Ali melawat tapak projek venue Sukma 2020 Johor, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman berharap peruntukan tambahan akan diluluskan bagi menjayakan penganjuran dan pengelolaan Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor.

Menurutnya, setakat ini, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan bajet pembangunan berjumlah RM142 juta kepada Kerajaan Johor.

"Ini tidak termasuk bajet pengelolaan ataupun pengurusan. Dan saya sebagai Menteri Belia dan Sukan berharap bahawa dana tambahan akan diluluskan bersama dengan aspirasi kerajaan negeri.

"Sukma 2020 ini bukan Sukma seperti tahun-tahun yang lain. Sukma 2020 ini kalau boleh kita nak jadikan Sukma paling istimewa dalam sejarah Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media ketika mengadakan lawatan Stadium Olahraga, Mount Austin Sport City, di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Ali; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Datuk Mohd Noorazam Osman serta Ketua Pegawai Eksekutif Sports Johor Sdn Bhd, On Jabar.

Syed Saddiq berkata, dengan ketibaan Wawasan 2020 disertai Tahun Melawat Malaysia 2020 pada tahun depan, beliau mahu Sukma kali ini yang terbaik dalam sejarahnya penganjuran.

Katanya, beliau juga mahu infrastruktur dan prasarana yang dibina, akan dapat disewa dan diguna pakai selepas berakhirnya temasya dwi tahunan itu.

Artikel Berkaitan:

Selain, melawat Stadium Olahraga Mount Austin Sports City di Taman Mount Austin, Syed Saddiq turut meninjau tapak velodrome, Arena Emas dan Arena Larkin.