Rokok seludup bernilai RM275,000 dirampas

Muhammad Izzudin (kiri) menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas dalam serbuan Sabtu lalu.
Muhammad Izzudin (kiri) menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas dalam serbuan Sabtu lalu.
A
A
A

BATU PAHAT - Polis merampas rokok seludup pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM275,000 dalam satu serbuan di sebuah gudang kosong di Jalan Ayer Hitam-Yong Peng, di sini, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Muhammad Izzudin Runggai berkata, dalam serbuan kira-kira 4 petang itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat berjaya menahan seorang lelaki yang juga pemandu lori berumur lingkungan 40-an.

"Serbuan ini adalah hasil siasatan yang dijalankan terhadap maklumat awal daripada orang awam pada hari yang sama mengenai kegiatan rokok seludup dan tanpa cukai di kawasan tersebut.

"Ketika serbuan dilakukan, beberapa suspek sempat melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran polis dan seorang lelaki tempatan yang juga pemandu lori kontena berumur lingkungan 40-an berjaya ditahan," katanya ketika sidang media di IPD Batu Pahat hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut, polis berjaya menemui sebanyak 5,500 karton rokok seludup pelbagai jenis di dalam lori kontena tersebut yang dianggarkan bernilai kira-kira RM275,000 untuk dipasarkan ke sekitar daerah Batu Pahat dan kawasan sekitarnya.

Katanya, beliau percaya dengan tertangkapnya suspek, sindiket penyeludupan rokok tanpa cukai di daerah ini juga berjaya dipatahkan selain akan berusaha mengesan saki baki suspek yang melarikan diri dalam serbuan tersebut.

"Rokok ini dipercayai diseludup dari Indonesia dan hasil siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan baharu dua bulan menjadikan kawasan gudang tersebut sebagai kawasan operasi mereka dan kami akan berterusan membanteras kegiatan ini agar ketenteraman dan keselamatan negara terjamin.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel Berkaitan: