Legasi 5 beradik manfaat teknologi dyno

A
A

GGR Machine modifikasi jentera dua roda hingga jadi kegilaan

BERMULA dari belakang rumah, siapa sangka sebuah bengkel kampung kini mempunyai tiga rangkaian kedai di U5 Subang Bestari, Selangor yang kini dikenali dengan label GGR Machine.

Bisnes keluarga yang dimulakan oleh Muhammad Alqamah Mohamed Azmi, 38, atau Alqamah selaku pengasas syarikat terbabit sejak 10 tahun yang lalu kini membuahkan hasil.

GGR Machine yang dipelopori lima beradik, Muhammad Alqamah, Ummu Athiyah, Muhammad Mussadiq, Muhammad Uqbah dan Muhammad Fathi membuktikan kerjasama dan muafakat antara darah daging sendiri mampu berjaya dengan cemerlang.

SEBAHAGIAN daripada 22 mekanik yang menjadi tulang belakang GGR Machine.
SEBAHAGIAN daripada 22 mekanik yang menjadi tulang belakang GGR Machine.

Asalnya, dengan hanya bermodalkan selaras sepana dan mesin pam tayar. Kemudian, Alqamah yang merupakan abang sulung dalam keluarga itu meraih kepercayaan para pelanggannya hingga membolehkan mereka menyewa sebuah lot rumah kedai pertama di Subang Bestari untuk bengkelnya beroperasi.

SEBAHAGIAN daripada 22 mekanik yang menjadi tulang belakang GGR Machine.
SEBAHAGIAN daripada 22 mekanik yang menjadi tulang belakang GGR Machine.

Tahun 2016 menyaksikan peminat motosikal dua lejang mula beralih kepada empat lejang. Paling ketara apabila Yamaha 15ZR dan Honda rs150 memasuki pasaran negara seterusnya jentera itu menjadi fenomena.

Tempoh evolusi dan kecenderungan peminatnya kepada motosikal jenis itu menjadi titik tolak GGR Machine turut mengikuti rapat peralihan mood itu. Modal besar sanggup dikeluarkan bagi membeli sebuah mesin dyno tuning motosikal dari Australia yang bernilai RM85,000.

SEBAHAGIAN aksesori motosikal barangan yang dijual.
SEBAHAGIAN aksesori motosikal barangan yang dijual.

Ternyata, percaturan itu berbaloi apabila GGR Machine tidak menang tangan dikunjungi oleh pemilik motosikal Yamaha 15ZR dan Honda rs150. Kebanyakannya 'gila' mahu melakukan modifikasi kerana bengkel Alqamah antara terawal di Malaysia yang mempunyai teknologi seumpamanya.

Perkara itu diakui oleh Pengurus Besar GGR, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi, 28. Katanya, dalam tempoh lebih kurang setahun setengah, GGR Machine beroperasi di lokasi baharu, dua lagi rangkaian dibuka bagi membolehkan operasi bengkel diperbesarkan.

PENGENDALIAN proses dyno Yamaha 15ZR oleh staf yang mahir.
PENGENDALIAN proses dyno Yamaha 15ZR oleh staf yang mahir.

"Sebenarnya dyno tuning ini membantu memperbetulkan sistem bahan api motosikal supaya lebih selesa untuk ditunggangi.

"Apa pun kita masih buat ikut kemahuan pelanggan dengan pakej yang ditawarkan," cerita beliau mengenai syarikatnya yang memerlukan rakan kongsi pada masa itu untuk menyuntik sedikit modal sehinggalah tertubuhnya GGR Machine by Azizan R.

Penuhi cita rasa

Meskipun terpaksa bersaing dengan bengkel lain, namun GGR mampu meraih kepercayaan pelanggan. Apatah lagi pengalaman dan fokus utamanya memenuhi cita rasa dan kehendak pelanggan masa kini dalam bidang modifikasi motosikal.

Menurut Muhammad Mussadiq, bukti fanatik pelanggan terhadap modifikasi dengan mesin dyno tuning apabila hanya dalam tempoh empat tahun, kira-kira 60,000 motosikal pelanggan mendapatkan khidmat di GGR.

STAF GGR, Muhammad Azri sedang melayan pelanggan melakukan tempahan.
STAF GGR, Muhammad Azri sedang melayan pelanggan melakukan tempahan.

Seramai 22 kakitangan terdiri daripada mekanik berpengalaman. Mereka juga sedia bertugas setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad.

Dek kegilaan pelanggan juga, tambah Muhammad Mussadiq lagi, buat permulaan, pihaknya mengambil keputusan mengeluarkan produk seperti valve spring dan ekzos berjenama GGR. Fokus pihaknya masih kepada model Yamaha 15ZR dan Honda rs150.

Biarpun ketika pada awal perniagaan mengakui sukar mendapat pengedar yang yakin dengan GGR, namun kini tidak lagi.

GGR Machine sentiasa teliti agar hasilnya dapat memberi kepuasan kepada setiap pelanggan.
GGR Machine sentiasa teliti agar hasilnya dapat memberi kepuasan kepada setiap pelanggan.

"Permintaan modifikasi dengan mesin dyno sememangnya tinggi. Jadi kami bercadang mahu membuka beberapa lagi cawangan GGR Machine di seluruh negara.

"Bila ada cawangan nanti, lebih senang untuk berurusan kerana pelanggan GGR bukan setakat dalam Kuala Lumpur dan Selangor. Ada yang sanggup berkonvoi dari Johor, Melaka dan Perlis kerana yakin dengan perkhidmatan dan cara kami mengendalikan tempahan untuk modifikasi," katanya yang bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan-Nya.

ANEKDOT

Instagram: ggrmachine

Facebook: GGR Machine

Alamat: No 33-1 Jalan Nova U5/N Seksyen U5 Subang Bestari, Shah Alam, Selangor

Apa itu dyno tuning?

-Dynometer ialah alat pengukur. Tujuan utama dyno tuning adalah untuk memudahkan pemilik motosikal atau kereta mengetahui keupayaan enjin selepas melakukan modifikasi atau menukar sesuatu alat ganti.

-Dyno tuning menjadi pilihan kerana ia lebih tepat dan selamat. Penggunaannya boleh dijalankan di bengkel khas berbanding road tuning yang memerlukan kenderaan bergerak di jalan raya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia