10 rumah terbakar: Rumah sewa untuk mangsa

Mohamad Said (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Mohd Arif Fikri (tiga dari kanan) sambil diperhatikan oleh Shu Qi (kanan).
Mohamad Said (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Mohd Arif Fikri (tiga dari kanan) sambil diperhatikan oleh Shu Qi (kanan).
A
A
A

KLUANG - Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kluang dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sedang membantu mendapatkan rumah sewa baharu untuk kesemua mangsa kebakaran di Lorong 2, Jalan Dahlia, Kampung Melayu di sini Sabtu lalu.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata, beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Mohamad Said Jonet mengadakan perbincangan bersama Pegawai Daerah Kluang untuk menempatkan mangsa kebakaran warga tempatan di rumah flat milik kerajaan di Jalan Haji Manan dan Taman Bersatu.

“Penempatan ini juga berdasarkan kekosongan yang ada. Dari segi deposit pula kami akan cuba membantu dan meminta sedikit kelonggaran kerana bangunan ini milik kerajaan.

"Bagi mangsa kebakaran bukan warganegara pula, mereka perlu uruskan sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat mangsa-mangsa kebakaran di Balai Raya Kampung Melayu 2 di sini hari ini.

Turut hadir ialah ADUN Mahkota, Mohamad Said Jonet; ADUN Mengkibol, Chew Chong Sin dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kluang, P Thanaselan.

Menurutnya, beliau juga mengakui keadaan balai raya tersebut tidak selesa untuk kesemua 28 mangsa selain balai raya tersebut turut digunakan oleh komuniti setempat sebagai tempat keraian dan majlis perkahwinan.

"Tempoh maksimum mangsa ditempatkan di balai raya ini adalah selama dua minggu. Ssemua mangsa terlibat perlu uruskan semula dokumen-dokumen peribadi mereka yang terbakar di pejabat-pejabat kerajaan secepat mungkin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, salah seorang mangsa, Mohd Arif Fikri Abd Rahman, 31, yang juga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata, dia bersama isteri, Noraisah Rahmat, 29, dan dua anaknya akan berpindah ke kuarters JKR di Kampung Melayu di sini.

“Mungkin kami akan berpindah ke kuarters tersebut dalam masa terdekat ini dan sekarang saya kena dapatkan balik semua dokumen-dokumen peribadi keluarga kerana saya hanya sempat selamatkan kereta sahaja di dalam kejadian itu.

“Saya baru menyewa di rumah itu pada penghujung tahun lalu dan walaupun mengalami kerugian yang agak besar saya tetap bersyukur kerana isteri dan anak-anak saya selamat,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi Sabtu lalu, 10 buah rumah termasuk satu premis menyimpan barang-barangan lusuh di Lorong 2, Jalan Dahlia, Kampung Melayu di sini terbakar.

Kejadian itu dipercayai berlaku selepas seorang lelaki berumur 24 tahun bertindak membakar hadapan rumah keluarganya menggunakan petrol kerana tidak berpuas hati dengan bapanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

10 rumah separa kekal musnah dijilat api

Bakar rumah selepas bergaduh dengan bapa