Pencerobohan haram di kawasan tebing sungai Bukit Tinggi

Wong Tack yang mengadakan pertemuan bersama syarikat tersebut bagi mendapat kepastian tentang aktiviti mereka yang dilakukan secara haram.
Wong Tack yang mengadakan pertemuan bersama syarikat tersebut bagi mendapat kepastian tentang aktiviti mereka yang dilakukan secara haram.
A
A
A

KUANTAN - Pejabat Parlimen Bentong berjaya membongkar sebuah syarikat yang melakukan pencerobohan haram di kawasan tebing sungai Bukit Tinggi, 21 Julai lalu.

Lebih mengecewakan, aktiviti tersebut menyebabkan banyak pokok yang berusia ratusan tahun telah ditebang dan membuatkan air sungai yang dahulunya jernih menjadi kuning dan keruh.

Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack berkata, pengesahan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Bentong dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah dilakukan dan mendapati aktiviti itu tidak mendapat kebenaran.

Wong Tack turun padang setelah mendapat aduan petani dari Bukit Tinggi.
Wong Tack turun padang setelah mendapat aduan petani dari Bukit Tinggi.

Menurutnya, pihaknya mendapat makluman mengenai perkara ini setelah menerima laporan daripada petani yang tanaman mereka dimusnahkan untuk dibuat laluan jalan masuk ke kawasan sungai tersebut.

"Saya amat kecewa dengan tindakan syarikat terbabit yang tidak bertanggungjawab yang mementingkan keuntungan berbanding menjaga kepentingan alam sekitar demi kesejahteraan masyarakat.

"Saya telah turun padang pada Ahad lalu dan mendapati mereka dengan sewenang-wenangnya merosakkan tanaman petani yang telah diusahakan oleh para petani hampir 60 tahun musnah begitu sahaja.

"Lebih mengecewakan bila saya mengadakan pertemuan bersama pengusahanya, dia kata telah mendapat kebenaran sepanjang 13 kilometer di tebing sungai daripada Pejabat Tanah dan Daerah serta JPS, tapi bila saya buat semakan dari dua agensi terbabit, tiada kebenaran diberikan oleh mereka," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Aktiviti pencerobohan haram itu menyebabkan banyak pokok telah ditebang dan air sungai yang dahulunya jerniah bertukar menjadi kekuningan dan keruh.
Aktiviti pencerobohan haram itu menyebabkan banyak pokok telah ditebang dan air sungai yang dahulunya jerniah bertukar menjadi kekuningan dan keruh.

Wong Tack berkata, pihaknya telah melaporkan perkara ini kepada Timbalan Menteri Air Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan pihaknya akan menyiasat perkara ini dalam masa terdekat.

Menurutnya, pihaknya berharap agar pengusaha yang telah melakukan pencerobohan haram yang hanya bertujuan untuk membangunkan resort dan tanaman durian musang king harus dikenakan tindakan tegas undang-undang.

"Saya sudah dapat makluman bahawa segala aktiviti yang dilakukan oleh syarikat tersebut telah dihentikan serta-merta dan mengharapkan agar mereka dikenakan kompaun yang tinggi.

"Saya juga mengharapkan segala kerosakan yang dilakukan oleh syarikat tersebut harus dibaiki oleh mereka. Mereka perlu tanam pokok semula bagi memastikan kawasan tebing sungai tersebut dapat dipulihkan," katanya.

Aktiviti pencerobohan haram itu juga menyebabkan kawasan sungai menjadi cetek.
Aktiviti pencerobohan haram itu juga menyebabkan kawasan sungai menjadi cetek.

Sementara itu, Wong Tack menasihatkan masyarakat di negara ini supaya melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa jika terlihat aktiviti pencerobohan hutan dan sungai di kawasan rumah mereka.

"Saya berharap agar masyarakat memberi kerjasama dengan pihak berkuasa bagi kita banteras aktiviti ini yang mampu merosakkan kawasan alam sekitar.

"Saya juga berharap agar mereka yang terlibat dengan bisnes ini supaya bersifat bertanggungjawab dan rasional sebagai rakyat Malaysia dan tolong jangan rosakkan alam demi kepentingan diri sendiri," katanya.