Selangor tingkat kutipan hasil

 Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM- Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi kewangan melalui kutipan hasil.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pada masa sama langkah produktif turut diambil dengan mengawal perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan bagi memastikan peningkatan kedudukan kewangan di dalam Akaun Hasil Disatukan.

"Antara tindakan yang diambil untuk meningkatkan prestasi kewangan dari aspek kutipan hasil adalah dengan mengadakan sesi engagement yang berterusan oleh pihak Pejabat Tanah Galian Selangor dan Pejabat Daerah dan Tanah dengan pihak pemohon dan syarikat sekiranya terdapat isu atau masalah dalam menjelaskan premium yang dikenakan.

"Kerajaan negeri turut melaksanakan kutipan cukai petak bagi pembangunan berstrata selaras dengan pindaan Akta Hakmilik Strata (Pindaaan 2016) (A1518) yang telah berkuatkuasa mulai 1 Jun 2018.

"Selain itu turut dijalankan operasi Mengutip Cukai Tanah tertunggak ke atas penunggak tegar dan van kaunter kutipan hasil cukai tanah bergerak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan Elizabeth Wong dan ADUN Rawang, Chua Wei Kiat pada sesi Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor.

Beliau berkata, program Perjumpaan Bersama Penduduk oleh Pejabat Daerah dan Tanah serta Anak Syarikat Kerajaan Negeri Selangor bagi urusan permohonan pindah milik atau hakmilik strata dan membuka kaunter bayaran cukai tanah turut diadakan.

"Penguatkuasaan oleh Unit Cukai Hiburan Perbendaharaan Negeri Selangor turut dilaksanakan ke atas pengusaha Pusat Hiburan, Panggung Wayang, Taman Tema,Litar Lumba, Pertunjukan Pentas bagi memastikan duti hiburan diterima oleh kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri turut diwujudkan bagi membantu kerajaan negeri dalam menguruskan lebihan tunai dengan lebih efisien di samping memberi pulangan faedah yang optimum," katanya.

"Samping itu, pengenaan Caj Royalti bagi Pokok Getah, Kelapa Sawit dan Kelapa sebagaimana yang termaktub di dalam Jadual Kedua Kaedah-Kaedah Hutan Selangor (Pindaan 2017) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor," katanya.

Dalam pada itu, terdapat beberapa tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri untuk meningkatkan prestasi kewangan dari aspek kawalan perbelanjaan.

"Perbendaharaan Negeri Selangor memperkemas dan membuat penambahbaikan terhadap perbelanjaan berhemah dan langkah-langkah penjimatan di dalam menguruskan perbelanjaan wang awam.

"Kawalan Perbendaharaan iaitu Penguatkuasaan Akta Tatacara Kewangan 1957 dan Pekeliling-Pekeliling Perbendaharaan bagi memastikan pembayaran dibuat dengan sempurna. Contohnya kawalan terhadap pembayaran Arahan Perbendaharaan 58(a)," katanya.

Katanya, selain itu, kerajaan negeri turut memastikan pengurusan rezab diurus dengan cekap dan teratur.

"Ia dilaksanakan bagi memastikan segala dasar, program, projek dan aktiviti yang dirancang bagi pembangunan Negeri Selangor dan kebajikan rakyat Negeri Selangor dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya.