Rai sahabat bersara naik helikopter

Zahara melambai tangan kepada rakan-rakan dan murid sebelum menaiki helikopter sambil diperhatikan Mokhtar (berdiri dari kiri).
Zahara melambai tangan kepada rakan-rakan dan murid sebelum menaiki helikopter sambil diperhatikan Mokhtar (berdiri dari kiri).
A
A
A

BALING - Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling diberi penghargaan menaiki helikopter untuk pulang ke rumah sempena majlis persaraannya, hari ini.

Zahara Ismail, 58, menaiki Helikopter jenis Bell 407 GX dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Baling ke SMK Sri Enggang, Sik yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

Beliau yang diraikan warga sekolah dalam majlis perpisahan penuh gemilang di dewan SMK Baling turut dibawa menaiki kereta Lamborghini sambil diarak puluhan motosikal berkuasa tinggi sejauh 2 kilometer ke padang SMKA Baling.

Zahara berkata, beliau sangat terharu dengan sambutan penuh makna oleh seluruh warga SMK Baling iaitu sebuah sekolah yang meninggalkan banyak kenangan manis kepadanya selain disifatkan paling berjaya sepanjang perkhidmatan sebagai guru.

"Antara kejayaan SMK Baling ialah johan pertandingan Toyota Eco Youth 2018. Tahun lepas juga seorang pelajar kami dinobatkan pelajar terbaik Sijil Tinggi Penilaian Malaysia (STPM) Kebangsaan.

"Pada tahun ini pula, SMK Baling muncul johan kawad kaki peringkat Kedah," katanya kepada media di Dewan SMK Baling di sini hari ini.

Lebih mesra dipanggil bonda, Zahara yang berkhidmat selama 32 tahun di empat buah sekolah sejak 1987 mula mengajar di SMK Batu 5 Sik lalu berhijrah ke SMK Sik dan SMK Chepir sebelum bertugas di SMK Baling selama hampir tiga tahun.

"Saya mula membahasakan diri dengan panggilan bonda sejak menjadi pengetua pertama di SMK Chepir. Bila bahasakan diri sebagai bonda, apa kita rasa? Semestinya sebagai mak.

Artikel Berkaitan:

"Murid tak akan menyimpan rasa marah apabila dimarahi kerana mereka rasakan itulah teguran seorang ibu yang sayangkan anaknya. Dalam masa sama masalah sosial di juga sudah tiada," katanya.

Zahara memotong kek ketika disambut pada majlis perpisahan di Dewan SMK Baling sambil diiringi anak lelakinya.
Zahara memotong kek ketika disambut pada majlis perpisahan di Dewan SMK Baling sambil diiringi anak lelakinya.

Ibu kepada tiga anak itu juga tidak menyangka apabila rakan baiknya, Datuk Zuri Abdullah, 58, yang menetap di England sanggup menyediakan helikopter sempena majlis berkenaan.

"Datuk Zuri ialah rakan baik saya juga seorang usahawan. Kami satu kelas ketika belajar di Kolej Sultan Abdul Hamid Alor Setar dan bila dia tahu saya nak bersara, dia sanggup datang dari England ke Baling untuk meraikan majlis ini," katanya.

Sementara itu, rakan Zahara yang juga bekas guru SMK Baling, Mokhtar Awang Besar berkata, Zahara bukan hanya seorang pengetua tetapi ibu kepada para pelajar dan kakitangan.

"Hubungan beliau dengan murid-murid dan kakitangan amat baik kerana dalam dirinya mempunyai perasaan kasih sayang, malah beliau amat menitik beratkan soal kebajikan seluruh warga sekolah.

"Beliau juga tidak menyimpan perasaan marah atau dendam kepada sesiapa dan setiap tegurannya dibuat dengan cara baik," katanya.

Mokhtar yang berusia 60 tahun itu turut mengakui SMK Baling menempa banyak kejayaan baik dalam kokurikulum atau pendidikan walaupun tempoh perkhidmatan Zahara tidak lama.