Johor tidak larang sembelih korban di masjid, surau

Tosrin (tiga dari kanan) menunjukkan pekeliling yang telah diputuskan pada sidang media di sini hari ini.
Tosrin (tiga dari kanan) menunjukkan pekeliling yang telah diputuskan pada sidang media di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor tidak melarang ibadah korban dilaksanakan dalam kawasan masjid atau surau di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, dakwaan larangan ibadah korban dilakukan masjid dan surau di negeri ini yang terkandung dalam satu surat pekeliling yang tular di media sosial sebelum ini hanya di peringkat cadangan.

Beliau berkata, pihaknya sedang membuat siasatan dalaman bagaimana surat pekeliling itu boleh tersebar di media sosial.

"Jangan risau dan ragu, ibadah korban di Johor boleh diteruskan di masjid. Jadi mana-mana masjid, surau ada tempat sembelih khas dibenarkan menjalankan ibadah korban di kawasan masjid, surau masing-masing.

"Bagi masjid, surau yang tak ada tempat sembelih khusus hendaklah mengikut syarat ditetapkan dengan mengutamakan keselesaan jemaah," katanya pada sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar Johor hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial surat pekeliling yang melarang pelaksanaan ibadah korban dalam kawasan masjid dan surau di negeri ini.

Pekeliling mengenai garis panduan yang didakwa dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) itu antara lain melarang aktiviti menambat, menyembelih dan melapah haiwan korban dalam kawasan masjid termasuk di perkarangannya.

Dalam pada itu, Tosrin berkata, bagi mana-mana masjid dan surau yang tidak mempunyai tempat penyembelihan khas perlu mematuhi empat syarat ditetapkan dalam Pekeliling Tempat Penyembelihan Dan Pengurusan Haiwan Qurban di Johor.

Artikel Berkaitan:

"Pertama, ibadah korban hanya boleh dilaksanakan oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) dan pegawai masjid atau surau berkenaan pada tempoh Hari Raya Aidiladha dan tiga hari tasyrik sahaja.

"Kedua, AJK dan pegawai masjid atau surau mestilah mendapatkan kebenaran melaksanakan ibadah korban daripada pejabat kadi daerah.

"Ketiga, mesti mendapatkan Sijil Kesihatan Veterinar dan Akuan Kebenaran Pindah dari Pusat Veterinar Kecil, pejabat veterinar daerah atau ibu pejabat perkhidmatan veterinar negeri Johor dan juga e-permit 2.

"Keempat, mesti mendapatkan Permit Penyembelihan Luar dari Pusat Veterinar Kecil, Pejabat Veterinar Daerah, Ibu Pejabat Veterinar Johor atau Rumah Sembelih Jabatan yang dipohon sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh penyembelihan," katanya.

Tosrin turut mengesyorkan setiap masjid dan surau di negeri ini memiliki kemudahan tempat penyembelihan khas bagi memudahkan urusan ibadah korban dijalankan setiap tahun.

Beliau turut menegaskan pekeliling yang membenarkan proses penyembelihan di masjid dan surau itu terpakai untuk pelaksanaan ibadah korban sahaja.

"Bagi urusan penyembelihan pada majlis lain seperti sambutan maulud nabi, majlis perkahwinan dan sebagainya tidak dibenarkan.

"Pekeliling ini hanya sah untuk ibadah korban setiap tahun bukan majlis-majlis lain. Pekeliling ini diserahkan kepada pejabat kadi daerah, esok," katanya.

Terdapat 2,783 buah masjid dan 1,950 buah surau di negeri ini dan dianggarkan 6,115 ekor lembu akan disembelih bagi ibadah korban tahun ini.