Raudah City mahu bangun semula pusat beli-belah terbengkalai, bantu usahawan Bumiputera

A
A
A
BRAINY Bunch dan Raudhah City telah menganjurkan programAyuh Bangkit 3.0 dalam misi mencetuskan kebangkitan dalam kalangan usahawan Bumiputera dan sekali gus membina kekuatan ekonomi Islam yang berlangsung di Cyberjaya, Selangor kelmarin.

Pengasasnya, Mohd Fadzil Hashim berkata, dalam konteks Malaysia tiada usaha pun dibuat untuk menyatukan usahawan-usahawan baharu agar mereka mempunyai kekuatan luar biasa, kerana beliau melihat ramai peniaga lebih fokus kepada ingin berjaya sendiri.

“Justeru menerusi program ini, saya mahu membina usahawan yang benar-benar mempunyai kekuatan perniagaan, sekali gus membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat seperti kemiskinan, tiada akses pendidikan, kelaparan dan sebagainya,” katanya pada program Ayuh Bangkit BootCamp 3.0 di Brainy Bunch International School di Cyberjaya, Selangor kelmarin.

Ayuh Bangkit BootCamp 3.0 menggabungkan empat speaker hebat iaitu pejuang hartanah, Ahyat Ishak; pakar pembangunan organisasi, Datuk Faridah Hanim Haron; pakar imej, Mary Anni Masarip; dan Mohd Fadzil sendiri.

Kesemua speaker terlibat hadir atas pentas yang sama dengan satu tujuan iaitu sebagai pencetus kebangkitan ekonomi Islam.

Mohd Fadzil berkata, Bangkit BootCamp 3.0 lebih memberi fokus dalam usaha mendidik usahawan.

“Menerusi program ini juga satu pelan strategi turut dibentangkan bagi membantu usahawan melihat bagaimana cara bagi membolehkan membina 100 rangkaian kompleks membeli-belah sendiri dengan mengambil semangat Kota Melaka.

“Bagi tujuan tersebut, pihak kami telah merancang untuk mengambil-alih dan membangunkan semula kompleks membeli-belah gajah putih memandangkan untuk membangunkan kompleks beli-belah yang baharu belum berkemampuan,” katanya.

Tingkat penguasaan usahawan Bumiputera
Artikel Berkaitan:


Mohd Fadzil berkata, inisiatif untuk mengambil-alih dan membangunkan pusat beli-belah terbengkalai berkenaan bertujuan meningkatkan penguasaan usahawan Bumiputera dalam sektor peruncitan di pasar raya.

Justeru, beliau yakin pendekatan tersebut mampu meningkatkan semula penguasaan usahawan Bumiputera dalam sektor berkenaan.

“Jika diikutkan saiz pasaran peruncitan negara ia dianggarkan berjumlah RM108 bilion. Namun, 60 peratus daripadanya dikuasai oleh syarikat luar.

“Oleh demikian, ia menjadi kekangan kepada usahawan Bumiputera untuk menguasai pasaran selain tidak mempunyai kekuatan melibatkan diri dalam sektor tersebut,” katanya.

Jelasnya, jika idea yang diketangahkan itu dapat direalisasikan, beliau optimis peningkatan di dalam sektor berkenaan dapat dicapai sehingga 38 peratus berbanding sekarang yang berada di bawah paras lapan peratus.

Sehubungan itu, bagi merealisasikan idea tersebut Mohd Fadzil berkata, Raudhah City tidak akan mengenakan sebarang sewa kepada peniaga, sebaliknya membuat perkongsian keuntungan sebagai rakan kongsi.

"Bagaimanapun, pemilihan perniagaan dilakukan mengikut kriteria ditetapkan berdasarkan kekuatan produk kerana pihak kami mahu kompleks beli-belah yang akan dibangunkan itu setaraf dengan pusat beli-belah mega yang ada di Kuala Lumpur.

“Ramai sebenarnya usahawan Bumiputera sudah sampai ke tahap menjana keuntungan memberangsangkan. Malangnya, mereka tidak ada peluang untuk memasuki pasaran peruncitan terutamanya di dalam kompleks membeli-belah,” katanya.

Sasar 100 pusat beli-belah

Mohd Fadzil berkata, buat masa ini pihaknya menyasarkan untuk membangunkan semula 100 pusat beli-belah yang merupakan projek gajah putih di seluruh Semenanjung Malaysia dalam tempoh 10 tahun.

Katanya, usaha tersebut tidak melibatkan sebarang pelaburan daripada pihak luar melainkan gerakan daripada rakyat sendiri.

“Sebuah pusat beli-belah memerlukan sokongan 15 ribu keluarga untuk berbelanja. Daripada situ, kita mampu menjana jualan tahunan sebanyak RM300 juta,” katanya.

Tambahnya, satu kad khas perbelanjaan isi rumah akan ditawarkan kepada pengguna bagi menarik minat mereka berbelanja di pusat beli-belah yang akan dibangunkan tersebut.

“Mereka yang berbelanja sehingga RM20,000 setahun berpeluang memperoleh pendidikan universiti percuma di institusi kami,”

“Ini adalah tambah nilai yang bakal ditawarkan kepada pengguna yang menyokong agenda murni kami ini,” katanya.

Tambahnya, beliau optimis impian bagi meningkatkan ekonomi berstruktur seterusnya melihat kepada keperluan yang diperlukan oleh usahawan dan pengguna itu mampu dicapai.

“Saya yakin dapat membina kekuatan 100 jenis jenama tempatan di dalam kompleks membeli-belah yang dimiliki oleh warga tempatan,” katanya.