PIKM bimbang kerajaan laksana terma CFS

Presiden PIKM, Datuk Ramli Yusuff memegang kenyataan media bersama pimpinan tertinggi PIKM di Pejabat PIKM hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Presiden PIKM, Datuk Ramli Yusuff memegang kenyataan media bersama pimpinan tertinggi PIKM di Pejabat PIKM hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PETALING JAYA - Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) melahirkan kebimbangan sekiranya kerajaan melaksanakan terma Contract for Service (CFS) bagi perkhidmatan kawalan keselamatan (PKK) di premis kerajaan.

Ini adalah kerana dikhuatiri lebih kurang 800 syarikat kawalan keselamatan hilang perniagaan dan 50,000 kakitangan hilang pekerjaan.

Presidennya, Datuk Seri Ramli Yusuff berkata, jika CFS benar-benar dilaksanakan ia bakal mengundang implikasi yang amat besar terhadap industri PKK termasuklah melumpuhkan industri yang melibatkan syarikat kawalan keselamatan.

"Kami berharap agar maklumat yang pihak kami terima mengenai ura-ura kerajaan mahu melaksanakan CFS tidak akan berlaku dan kami mahu ia dibatalkan.

"Bayangkan syarikat kawalan keselamatan yang secara puratanya berstatus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan 99 peratus adalah milikan Bumiputera akan lumpuh dan kebanyakan kakitangan pula adalah dalam kalangan B40 akan hilang pekerjaan," katanya pada sidang akhbar di pejabat PIKM, di sini hari ini.

Tambahnya, pihaknya telah menulis surat rasmi kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Dalam Negeri mengenai status pelaksanaan CFS, namun sehingga hari ini pihaknya masih tidak mendapat maklum balas.

"Kami hendak kepastian, kerana pelaksanaan CFS akan menjejaskan ramai pihak dalam industri PKK," katanya.

Jelasnya, PIKM juga menganggap ura-ura cadangan kerajaan untuk melaksanakan CFS itu turut akan menjadi rangsangan keretakan dan melumpuhkan peluang syarikat kawalan keselamatan memberi perkhidmatan kawalan keselamatan kepada sektor kerajaan.

"Langkah pelaksanaan CFS oleh kerajaan juga turut dilihat seperti membelakangi dasar penswastaan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.

Artikel Berkaitan: