​SPR keluarkan nama pemilih meninggal dunia, hilang taraf warganegara

Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun
A
A
A

SHAH ALAM -​ ​ ​Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengeluarkan nama-nama pemilih daripada daftar pemilih dan akan dipamerkan sepanjang tempoh pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku kedua tahun 2019 ​​(ST2/2019) bermula 31 Julai hingga 13 Ogos ini.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, ​antara asas ​pihaknya mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada daftar pemilih kerana mereka telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

B​eliau berkata, ​bagi pegawai ​serta anggota ​p​olis​ dan tentera yang tamat perkhidmatan​ pula​, ​pihaknya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengemaskini maklumat lokaliti pengundian mereka dari lokaliti polis dan tentera ke lokaliti awam dengan mengekalkan bahagian ​p​ilihan ​r​aya Parlimen dan ​Dewan Undangan Negeri (​DUN​) ​sedia ada masing-masing.

​"​Tindakan pengemaskinian ini adalah bagi memastikan mereka akan mengundi sebagai ​p​engundi ​b​iasa dan bukan lagi sebagai ​p​engundi ​a​wal kerana mereka menamatkan perkhidmatan ​p​olis atau ​t​entera. ​

​​"J​​umlah yang terlibat ​seramai 959 orang terdiri daripada 121 orang pesara ​t​entera, 834 pesara ​p​olis dan ​empat orang pasangan pesara Polis PGA​ (Pasukan gerakan Am)​.​ Kesemua nama ​pesara ​t​entera dan ​p​olis serta pasangan ini juga dipamerkan semasa Pameran Rang DPT kali ini​," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Pameran ​RDPT​ bagi ​ST2/2019​​ itu akan dibuat selama dua minggu di 957 tempat-tempat pameran di seluruh negara.

Sementara itu Azhar berkata, ​dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih ​ST2/2019, ​SPR menerima sebanyak 27,505 permohonan pendaftaran pemilih baru daripada warganegara yang layak dan 11,627 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar.

​Menurutnya, p​emohon yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu dan pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 April 2019 hingga 30 Jun 2019 dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam Rang DPT ST2/2019.

Artikel Berkaitan:

​Katanya, jika pemohon mendapati nama​ tidak disenaraikan dalam Rang DPT ST2/2019, mereka boleh membuat​ tuntutan melalui Borang B.

​"​Bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat ​bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam Rang DPT ST2/2019 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, mereka bolehlah berbuat demikian, dengan mengisi Borang C.

"Tuntutan atau Bantahan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran Rang DPT itu diadakan.," katanya.

Azhar berkata, justeru semua pemohon yang ​memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baru dan pemilih berdaftar yang ​memohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 April 2019 hingga 30 Jun 2019 ​diseru ​​untuk membuat semakan nama mereka di tempat-tempat pameran yang diwartakan.

​Beliau berkata, sebarang pertanyaan mengenai pameran Rang DPT ST2/2019 boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR melalui nombor telefon 03-8892 7018 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

​Katanya,​ pemohon juga boleh melayari portal SPR di www.spr.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar MySPR Semak untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan dalam Rang DPT ST2/2019.

​​

​​​

​​​

​​​