Tiada pemimpin dalam PH layak ganti Tun M: Annuar

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SEPANG – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendakwa tiada pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) yang layak menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, selain Dr Mahathir, tiada pengganti dalam PH yang boleh membawa Malaysia kepada keadaan lebih baik.

Katanya, UMNO mendukung penuh pendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini bersuara bahawa Pas dan UMNO akan saling bekerjasama untuk mengekalkan perkhidmatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga tamat tempoh satu penggal mandat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kita faham asasnya, Dr Mahathir perlu dikekalkan demi kestabilan negara dan kita bimbang pertukaran Perdana Menteri akan mengancam kestabilan ekonomi.

“Dan juga mungkin kerana dilihat tidak ada satu pengganti yang boleh membawa negara kepada keadaan yang lebih baik, maka kita nampak ada meritnya apa yang disebutkan oleh Presiden Pas,” katanya ketika ditemui media selepas Ceramah Perdana Islam Memimpin Perpaduan, di sini, malam tadi.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, UMNO akan menyokong apa sahaja pendirian Pas.

“Apabila timbul satu pandangan yang begitu, maka UMNO akan duduk bersama berbincang dengan Pas, bukan sekadar memberi reaksi kepada media sahaja.

“Secara prinsip, apa saja pendirian Pas, UMNO akan bersama. Kita akan sentiasa sependapat,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Presiden Pas melontarkan pendapat bahawa Pas dan UMNO akan mempertahankan Dr Mahathir sehingga habis penggal kerana merasakan pentadbiran PH 'tidak berwajah kepimpinan orang Islam.'

Katanya, ketika ini Pas dan UMNO hanya boleh menaruh kepercayaan kepada Dr Mahathir kerana kemampuannya, meskipun mendakwa PH dikuasai oleh orang bukan Islam.