Kesilapan politik lalu satukan Pas, UMNO: Hadi

Hadi
Hadi
A
A
A

SEPANG – Kesilapan politik masa lalu antara Pas dan UMNO menjadi iktibar yang memudahkan kedua-dua parti itu kembali bertaut menerusi piagam bersama.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas dan UMNO pernah berada dalam satu pasukan suatu masa dulu dan kemudian berbalah.

Namun katanya, selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu kedua-dua parti sama-sama bermuhasabah dan memutuskan untuk menjalin semula kerjasama demi Islam.

“Oleh sebab itu, apabila kita ada masalah hari ini (kalah PRU14) kerana kesilapan politik, maka Pas dengan UMNO mudah berjumpa.

“Begitu juga dengan MCA dan MIC, mudah nak dekat. Parti lain payah sikit sebab mereka tidak ada masa itu, fikiran mereka lain,”katanya pada Ceramah Perdana Islam Memimpin Perpaduan yang dihadiri kira-kira 2,000 hadirin, di sini malam tadi.

Beliau berkata, faktor utama Pas menerima UMNO ialah kerana Melayu dan Islam.

“Mengapa Pas boleh terima UMNO? UMNO Melayu, Melayu adalah Islam. Kefahaman kita Melayu itu Islam, Islam itu Melayu, sampai begitu sekali sinonim Melayu dengan Islam itu.

“UMNO tak ada masalah dengan Pas, sebab sebelum ini juga apabila timbul masalah negara kita bertemu untuk selesaikan masalah negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, pengalaman-pengalaman lalu menjadi pengajaran kepada Pas dan UMNO maka perpaduan kali ini lebih kukuh.

“Sebab ini kita buat satu gabungan untuk melakukan satu perubahan politik yang memerlukan orang Islam sendiri mendukung kerjasama ini.

“Kita juga perlukan orang bukan Islam yang tidak ekstrem mendukung kerjasama ini,” katanya.