Lambat bertindak, Ketua Polis Romania dipecat

Alexandra Macesanu diculik Rabu lalu.
Alexandra Macesanu diculik Rabu lalu.
A
A
A

BUCHAREST – Ketua Polis Romania dipecat gara-gara lambat bertindak kes seorang remaja perempuan diculik, kemudian mati dibunuh.

Mangsa sebelum itu telah menghubungi talian kecemasan berulang kali namun tidak dilayan.

Remaja malang berusia 15 tahun itu diculik pada Rabu lalu, tetapi berjaya membuat tiga panggilan dan memberi perincian kepada polis tempat dia diculik.

Keluarganya mendakwa polis tidak mengambil serius panggilan kecemasan itu.

Tetapi polis mengatakan mereka mengalami kesulitan mengesannya.

Polis telah menemui mayat remaja itu di sebuah rumah dan menahan seorang lelaki berusia 65 tahun untuk siasatan.

Mangsa yang dikenali sebagai Alexandra Macesanu diculik ketika cuba menumpang secara percuma daripada orang yang lalu lalang untuk pulang ke rumahnya di bandar Caracal, kata polis.

Khamis lalu, mangsa telah membuat panggilan kecemasan 112 sebanyak tiga kali.

Artikel Berkaitan:

Media melaporkan mangsa dibunuh oleh pemandu yang menumpang mangsa.

Menurut ketua polis yang dipecat, Ioan Buda, polis hanya mendengar mangsa berkata ‘dia datang, dia datang’ sebelum panggilan terputus.

Susulan itu, polis berusaha mengesan lokasi panggilan dibuat.

Polis hanya mengenal pasti kediaman yang dipercayai tempat mangsa disembunyikan pada jam 3 pagi Jumaat lalu, menurut laporan media.

Namun, polis kemudian memohon waran geledah – walaupun ia tidak diperlukan secara sah – dan menunggu sehingga pagi untuk memasuki rumah berkenaan.

Polis telah menghantar mayat yang dipercayai milik Alexandra untuk dianalisis, selain mayat seorang lagi mangsa berusia 18 tahun yang hilang April lalu. – Agensi