Kampung Pakistan: Penduduk luahkan kebimbangan

Kelibat lelaki warga Pakistan di kawasan premis di Bukit Sentosa itu. Gambar kecil: Mohamad Zainuddin
A
A

PENDUDUK Bandar Bukit Sentosa di sini mahu tindakan sewajarnya diambil pihak berkuasa bagi menangani kebanjiran warga Pakistan di kawasan berkenaan.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mila, 30-an, berkata, dia pada mulanya bersikap tidak kisah dengan kehadiran pelarian dari Pakistan berkenaan namun mula berasa kurang selesa apabila berlaku kecurian kecil di taman perumahannya.

Menurutnya, walaupun kecil dan hanya membabitkan barangan yang diletakkan di luar rumah, namun kejadian berkenaan harus dipandang serius oleh pihak berkuasa.

"Mereka (pelarian) juga duduk di taman perumahan dengan bilangan lebih daripada sebuah keluarga," katanya.

Bagi Luqman, 40-an, masalah itu sudah lama dan sehingga kini tiada sebarang tindakan proaktif bagi mengatasi masalah berkenaan.

"Tak tahu nak cakap macam mana, jika mereka pelarian sekalipun adakah wajar mereka mempunyai sekolah dan dewan yang tidak diluluskan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Cempaka 1C, Bandar Bukit Sentosa, Mohamad Zainuddin Yeob berkata, penduduk mendakwa warga asing tersebut mengundang pelbagai masalah kepada mereka terutama membabitkan aspek kebersihan sehingga mengundang rasa kurang selesa dalam kalangan penduduk.

"Warga Pakistan mula mendiami kawasan ini sejak enam tahun lalu dan jumlah mereka semakin bertambah. Kebanyakan daripada mereka bekerja sebagai kontraktor," katanya.

Mohamad Zainuddin berkata, beliau pernah membuat bancian warga asing itu dan mereka mendiami tujuh unit rumah teres dan 41 unit rumah di pangsapuri berhampiran.

"Saya dapati dua keluarga warga Pakistan mendiami sebuah unit kediaman. Dipercayai ada pihak tertentu membantu membayar sewa rumah mereka.

"Kami kesal kerana warga asing ini mengabaikan kebersihan dengan membuang sampah merata-rata sehingga kawasan kediaman ini kotor," katanya.

Katanya, penduduk juga takut membawa anak bermain di padang kerana setiap petang ramai warga asing berkumpul di situ.

"Penduduk juga mendakwa warga asing itu turut menyebabkan gangguan bunyi bising. Saya pernah tegur jiran warga Pakistan agar tidak buat bising dan saya akan buat laporan polis jika dia masih berdegil," katanya.

Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor telah melakukan operasi pada awal Julai lalu.

"Saya harap operasi secara berterusan dapat dilaksanakan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia