MSPO bantu minyak sawit dijual harga tinggi

Teresa bercakap kepada pemberita sebelum mengadakan sesi dialog bersama pemilik dan pengurusan kilang kelapa sawit Johor di Hotel Jen Puteri Harbour, di sini hari ini.
Teresa bercakap kepada pemberita sebelum mengadakan sesi dialog bersama pemilik dan pengurusan kilang kelapa sawit Johor di Hotel Jen Puteri Harbour, di sini hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pengiktirafan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) oleh negara luar akan membolehkan minyak sawit Malaysia dapat dijual dengan harga yang tinggi.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, perkara itu dinyatakan beberapa syarikat besar yang mengimport minyak sawit negara dan telah mengiktiraf MSPO.

"Mereka juga telah mengiktiraf MSPO dan mereka sudi bayar dengan harga yang lebih tinggi.

"Jadi, ini maklum balas yang kita sudah ada," katanya kepada pemberita sebelum mengadakan sesi dialog bersama pemilik dan pengurusan kilang kelapa sawit Johor di Hotel Jen Puteri Harbour, di sini hari ini.

Selain itu katanya, pensijilan MSPO kini telah diterima oleh Jawatankuasa Olimpik Jepun yang mengelolakan temasya tersebut pada tahun depan.

"Saya akan pergi ke Jepun dua bulan lagi. Saya akan cuba mendapatkan MSPO ini diiktiraf oleh pihak pembeli atau agensi kerajaan di Jepun. Jadi semua ini kita tengah usahakan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan terus komited dalam memastikan pensijilan MSPO mendapat pengiktirafan negara-negara luar termasuklah Eropah.

Sehubungan itu, beliau berharap pekebun kecil dan pengusaha mengambil serius berhubung pensijilan kemampanan minyak sawit di negara ini kerana syarikat terlibat menitikberatkan kesihatan dan kemampanan melibatkan pengeluaran sebarang produk

Artikel Berkaitan:

"Mereka nak juga lihat imej industri kita. Jadi, semua ini kementerian saya tengah lakukan.

"Kami hanya nak memohon kerjasama daripada para penanam sawit. Minta mereka ambil serius mengenai pensijilan MSPO ini," katanya.

Teresa berkata, sehingga 30 Jun lalu, pensijilan MSPO di seluruh negara hanya 42 peratus di mana angka itu masih lagi rendah berbanding sasaran 100 peratus menjelang 31 Disember tahun ini.

"Kalau tidak dapat mencapai 100 peratus seperti yang disasarkan, sekurang-kurangnya kita boleh capai satu peratusan sangat tinggi yang saya rasa boleh menarik perhatian masyarakat antarabangsa.

"Satu angka menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara pengeluar sawit yang mampu mengeluarkan minyak sawit yang mampan," katanya.