Kadar jenayah Terengganu meningkat

Aidi Ismail
A
A

KUALA TERENGGANU - Kadar jenayah indeks Terengganu meningkat sebanyak 13 peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, sehingga Jun tahun ini, sebanyak 939 kes jenayah telah dilaporkan berbanding 831 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu, meningkat sebanyak 108 kes.

Bagaimanapun katanya, bagi kadar penyelesaian kes, Kontinjen Terengganu berjaya melepasi sasaran KPI (petunjuk prestasi utama) yang ditetapkan, iaitu 45 peratus.

“Bagi tempoh yang sama, penyelesaian kes yang berjaya dibuat adalah sebanyak 570 kes atau bersamaan 60.7 peratus,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.

Sementara itu katanya, statistik tangkapan yang dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu meningkat sebanyak 33 tangkapan atau bersamaan lima peratus.

Jelas Aidi, jumlah tangkapan yang dilakukan adalah seramai 649 orang berbanding hanya 616 orang yang ditangkap dalam tempoh yang sama tahun 2018, melibatkan kes bekalan atau memiliki dadah di bawah Seksyen 6, 6B, 12(2), 39A(1), 39A(2) dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 30 (3) Akta Racun 1952.

“Di atas usaha yang dimainkan oleh JSJN Terengganu juga, seramai 44 pengedar dadah telah ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 sepanjang tahun ini berbanding 25 orang sahaja pada tahun lepas.

“Ini menunjukkan peningkatan seramai 19 tangkapan bersamaan 76 peratus,” katanya.