Lelaki cedera ditampar pemandu treler

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki cedera di muka kerana ditampar seorang pemandu treler selepas mereka terlibat dalam satu kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Udang Kepai, Segambut, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintenden Heisham Harun berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi 21 Julai lalu membabitkan seorang pemandu kereta jenis Proton Saga dan pemandu treler.

“Mangsa telah ditampar oleh pemandu treler berkenaan sehingga mengalami luka dan bengkak di bahagian mata dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan kejadian terbabit.

“Pada masa sama, seorang wanita yang cuba mengambil gambar kemalangan tersebut telah dimarahi dan diugut oleh pemandu treler berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Heisham, wanita tersebut yang bimbang dengan keselamatannya telah membuat satu laporan polis selepas pemandu treler terbabit mengugut mahu ke rumahnya.

"Susulan itu, sepasukan polis berjaya memberkas suspek untuk disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 kanun yang sama kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.

Artikel Berkaitan: