Rokok RM710,000 untuk pasaran Malaysia dirampas

Ashmon (depan, tiga dari kanan) pada sidang akhbar tangkapan rokok seludup di IPD Kota Tinggi hari ini.
Ashmon (depan, tiga dari kanan) pada sidang akhbar tangkapan rokok seludup di IPD Kota Tinggi hari ini.
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis Kota Tinggi berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok di perairan Kota Tinggi dengan tertangkapnya lima lelaki dalam serbuan di sebuah premis kilang di Taman Sri Saujana, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, hasil maklumat risikan kegiatan penyeludupan rokok kira-kira jam 2.30 petang, sepasukan polis dari Unit Team Op Rempuh Penyeludupan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi diketuai Inspektor P Devendiran berjaya merampas 362 kotak besar berisi rokok putih.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di salah sebuah kontena telah menjumpai rokok seludup jenis RGD Magnum yang mana anggaran rampasan bernilai RM710,000 dipercayai untuk pasaran satu Malaysia.

"Ekoran itu, seramai lima lelaki ditahan berusia 28 hingga 55 tahun termasuklah seorang warganegara asing yang dipercayai menjadi orang pengantara dalam penyeludupan rokok dipercayai dari negara jiran.

"Semakan juga mendapati seorang lelaki tempatan yang ditahan masih 'wanted' bersabit kes mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat.

"Kita juga percaya, sindiket ini merupakan serpihan sindiket yang pernah dihapuskan polis dan agensi lain, namun mereka menubuhkan sindiket baharu secara kecil-kecilan," katanya pada sidang akhbar di IPD Kota Tinggi hari ini.

Beliau berkata, pihak polis yakin masih ada saki-baki sindiket dan pihaknya sedang melakukan usaha mengesan pihak terlibat.

Katanya, suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 manakala suspek warga asing turut ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga memaklumkan kesemua suspek ditahan reman bermula 25 Julai hingga 8 Ogos ini untuk siasatan lanjut.