Warga emas disamun ketika bersarapan di rumah

Gambar kiri, barangan yang dirampas dari salah satu serbuan yang dijalankan dan polis juga merampas pelbagai barangan termasuk pakaian dan jam tangan dari suspek.
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sepasang suami isteri warga emas berdepan detik cemas selepas disamun ketika berada di rumah mereka di Pengkalan Bukit Tengah di sini, pagi Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa, T Kuppusamy, 72, sedang berkebun di halaman rumahnya manakala isterinya, M Sinthamany, 70 berada di dalam rumah.

Menurutnya, ketika isteri mangsa sedang bersarapan, dia didatangi seorang lelaki lalu meragut rantai emas dan rantai perkahwinannya dan melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna putih.

"Ketika mangsa yang juga pesara berada di halaman rumahnya, dia terdengar isterinya menjerit lalu terus meluru ke dalam rumah. Ketika itu, dia ditolak oleh suspek lalu jatuh dan pengsan.

"Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di siku, bengkak di kepala dan retak tulang pinggul kanan manakala isterinya cedera di jari tangan kanan dan sakit di rusuk kiri. Kedua-duanya telah mendapatkan rawatan di Hospital Bukit Mertajam," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM7,000.

Tambahnya, susulan daripada itu, pihaknya menyerbu sebuah kedai kopi dan berjaya menahan tiga suspek berusia 41, 34 dan 35 tahun, kira-kira jam 5 petang semalam.

"Dalam serbuan itu, kita berjaya merampas pelbagai barangan antaranya tiga buah telefon bimbit, enam helai surat pajak gadai, sebuah kereta Perodua Kelisa dan sebuah kereta Proton Wira. Susulan daripada itu, polis membuat empat lagi serbuan di Simpang Ampat di sini.

"Keempat-empat serbuan itu dibuat pada hari sama iaitu semalam, bermula jam 7 petang hingga 9.30 malam.

"Dalam keempat-empat serbuan itu, kita turut merampas pelbagai barangan antaranya topi keledar, pisau lipat berhulu kayu, beberapa helai pakaian dan jam tangan," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, siasatan awal mendapati, kesemua suspek terlibat dalam 11 kes samun berkawan dan beberapa kes lain.

"Suspek pertama yang tidak bekerja mempunyai dua rekod lampau melibatkan rusuhan dan kesalahan dadah. Sementara itu, suspek kedua yang juga tidak bekerja mempunyai enam rekod jenayah antaranya cubaan meragut dan dadah.

"Suspek ketiga yang merupakan peniaga mempunyai 10 rekod jenayah antaranya samun berkawan, samun dan dadah.

Kesemua suspek kini ditahan di lokap sementara menunggu perintah reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun sehingga mendatangkan kecederaan," katanya.