Tonjol keistimewaan Silat Hang Tuah

Persembahan silat Hang Tuah oleh ahli-ahli Persatuan Seni Silat Hang Tuah sempena Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) 2019 di perkarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) hari ini. -Foto Faris Azmi (Perbadanan Putrajaya)
Persembahan silat Hang Tuah oleh ahli-ahli Persatuan Seni Silat Hang Tuah sempena Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) 2019 di perkarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) hari ini. -Foto Faris Azmi (Perbadanan Putrajaya)
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 50 ahli Persatuan Seni Silat Hang Tuah menyertai persembahan silat tersebut sempena Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) 2019 di perkarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) di sini hari ini.

Jurulatihnya, Ibrahim Azran, 26, berkata, persembahan itu diadakan bagi memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai keistimewaan Silat Hang Tuah sebagai khazanah warisan negara.

"Ramai di antara kita semakin lupa asal-usul, adat, budaya dan jati diri mereka. Malah, orang Melayu tidak tahu bangsa mereka sendiri ada banyak warisan yang ditinggalkan.

"Maka, melalui persembahan ini kita mahu uar-uarkan bahawa silat Melayu ini bukan sekadar warisan yang ditinggalkan tetapi perlu dikembalikan dan diterapkan dalam diri masyarakat," katanya kepada Sinar Harian.

Turut hadir dalam program itu, penggerak Silat Hang Tuah, Mokhtar Yahya dan Pengerusi Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), Tan Sri Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar.

Menurut Ibrahim, bagi pesilat pula, Silat Hang Tuah banyak membantu mereka membentuk jati diri Melayu.

"Silat ini menekankan mengenai kepentingan disiplin, menghormati guru, taat kepada ibu bapa dan tidak meminggirkan agama. Memang itu yang kita nak terapkan kepada anak-anak yang membesar dengan seni silat," katanya.

Katanya, persembahan yang disertai ahli dari umur empat tahun hingga 30 tahun itu menonjolkan beberapa gerakan penting dalam Silat Hang Tuah.

Artikel Berkaitan:

"Persembahan dimulakan dengan Salam Perguruan dan diteruskan dengan demonstrasi Serangan Tapak Empat, Pola Enam, Serangan Tumbukan Kiri Kanan, Tumbukan Rusuk serta Serangan Siku dan Lutut.

"Kemudian, penonton dihidangkan dengan persembahan berpencak dan disambung dengan permainan kayu pendek sebelum ditutup dengan jurus," katanya.

Sementara itu, Mokhtar yang menjalankan kajian mengenai Silat Hang Tuah berkata, silat itu istimewa kerana gerakannya sama seperti ketika Hang Tuah bertarung.

"Hang Tuah amat terkenal dengan kehebatannya berlawan yang cukup tangkas. Itu juga yang kita terapkan dalam diri pesilat agar mereka berlatih cara tegas dan berani untuk berdepan dengan lawan.

"Selain itu, Hang Tuah merupakan idola yang cukup lengkap untuk generasi muda masa kini. Ini kerana Hang Tuah bukan saja pandai berlawan tetapi pandai seimbangkan aspek dunia dan akhirat," katanya.