Bunuh rakan kerana sering mengata

Kedua-dua mangsa sering bergaduh sebelum ini berpunca daripada mengata antara satu sama lain.
Kedua-dua mangsa sering bergaduh sebelum ini berpunca daripada mengata antara satu sama lain.
A
A
A

KEPALA BATAS - Dua lelaki ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah kedai di Taman Bertam Ria di sini kira-kira jam 6.45 petang semalam.

Kedua-dua lelaki warga India itu pekerja di sebuah restoran dan tinggal di tingkat dua rumah kedai berkenaan yang dijadikan asrama pekerja.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kedua-dua lelaki itu dijumpai rakan mereka yang juga pekerja restoran sama sebelum memaklumkan kepada polis.

"Restoran itu terletak kira-kira 1 kilometer dari rumah kedai yang disewa majikan bagi menempatkan tujuh pekerja warga India yang mempunyai permit kerja yang sah.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, mangsa pertama dikenali sebagai Mubarak Ali, 28, didapati dibunuh Azad Mubarakbhai, 26, yang kemudiannya ditemui tergantung pada besi pencangkuk kipas siling.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kita dapati mayat Mubarak dalam keadaan terbaring di bilik air dipercayai dibunuh terlebih dahulu oleh Azad yang kemudiannya ditemui tergantung pada besi pencangkuk kipas siling.

"Pemeriksaan di rumah kedai tersebut juga mendapati keadaannya berselerak dipercayai berlaku pergelutan di bilik belakang iaitu berhadapan dengan bilik air di mana mayat Mubarak dijumpai," katanya ketika dihubungi semalam.

Noorzainy berkata, beberapa kesan tompokan darah turut ditemui dalam bilik pertama hingga ke bilik belakang selain pada dinding berdekatan bilik air dipercayai berlaku pergelutan antara kedua-dua mangsa sebelum berlaku pembunuhan.

Artikel Berkaitan:

"Difahamkan kedua-dua mangsa bertengkar ketika sedang bersiap ke tempat kerja berikutan mayat mangsa ditemukan berpakaian uniform kerja dan mayat mereka ditemui rakan sekerja yang pulang ke rumah kedai terbabit untuk mencari kedua-dua mangsa.

"Mereka sepatutnya masuk kerja jam 5 petang namun tidak kelihatan menyebabkan majikan meminta rakan mereka mencari mangsa. Mubarak bekerja di restoran itu selama lima tahun sebagai penebar roti canai manakala Azad baru enam bulan bekerja sebagai tukang cuci.

Menurutnya, daripada keterangan majikan, kedua-dua mangsa kerap bergaduh kerana sering mengata antara satu sama lain, namun tidak serius

"Polis turut menemui sebilah pisau berukuran 34 sentimeter yang terdapat kesan darah di atas meja berhampiran mangsa tergantung," katanya.

Noorzainu berkata, mangsa didapati mempunyai empat luka tikaman pada bahagian perut dan lima luka hirisan di bahagian lengan iaitu atas siku sebelah kiri dipercayai kerana mempertahankan diri manakala tiada kecederaan pada tubuh Azad.

"Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya dan laporan bedah siasat mengesahkan Mubarak meninggal dunia kerana pendarahan serius akibat tikaman manakala Azad kerana kesan tergantung.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.