Pencemaran Sungai Selangor, pengusaha pontun lanjut reman

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Reman terhadap seorang pengusaha pontun bagi membantu siasatan kes pencemaran minyak diesel di Sungai Selangor, baru-baru ini, dilanjutkan selama satu hari lagi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, reman lelaki itu dilanjutkan sehingga esok.

"Manakala, seorang lagi pekerja pontun yang ditahan sebelum ini bersama pengusaha tersebut telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

"Setakat ini, tiada tangkapan baru dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Terdahulu, polis menahan kedua-dua individu berusia lingkungan awal 30-an itu di pontun terbabit di Kuala Selangor, Rabu lalu.

Kedua-dua mereka itu kemudian direman empat hari sehingga Ahad (hari ini) dan kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Noor Azam sebelum ini mengesahkan telah merekodkan lebih 10 keterangan dan sedang bekerjasama dengan pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk tindakan lanjut.

Pencemaran terbabit yang memaksa empat loji rawatan air (LRA) dihentikan operasinya menyebabkan beberapa daerah di Selangor terjejas bekalan air.

Artikel Berkaitan: