Tunku Hajah Azizah permaisuri bertakhta di hati rakyat

Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tanggal 30 Julai ini, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah secara rasminya menduduki singgahsana Istana Negara sebagai Raja Permaisuri Agong.

Selepas 33 tahun menjadi permata hati rakyat Pahang, baginda akan berada di samping suami tercinta Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang bakal ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 pada tarikh berkenaan.

Menjelang momen bersejarah itu, Tunku Azizah dalam wawancara pertama baginda sebagai Raja Permaisuri Agong berkongsi dengan Bernama tentang pelbagai perkara termasuk isi hati baginda mengenai pelantikan sebagai Wanita Utama negara.

Baginda turut berkongsi harapan serta kisah cinta baginda bersama Seri Paduka yang boleh dijadikan inspirasi oleh kalangan rakyat jelata.

Belum mencerna realiti

Santai memulakan bicara, Tunku Azizah yang dikenali ramai sebagai insan yang sentiasa merendah diri, mengakui realiti fasa kehidupan baharu baginda belum sepenuhnya dihayati kerana ia berlaku terlalu pantas.

Pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Jan lepas disusuli dengan pemasyhuran Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan lalu sekali gus merubah kedudukan Tunku Azizah daripada Tengku Puan Pahang kepada Tunku Ampuan Pahang dan seterusnya Raja Permaisuri Agong hanya dalam masa beberapa hari sahaja.

"Semasa November, tidak ada bayangan pun Tuanku nak menjadi Sultan (Pahang) dan dalam dua minggu (kemudian), terus jadi Yang di-Pertuan Agong...sehingga kini, perkara ini (bahawasanya baginda kini adalah Raja Permaisuri Agong) belum 'masuk' atau bahasa Inggeris kata 'has yet to sunk in me’ (belum dapat dihayatinya).

"Jadi, saya selalu ketawa...ada kalanya saya masih bahasakan diri saya sebagai Tengku Puan dan anak-anak saya pun bahasakan Tengku Puan,” titah Tunku Azizah yang merupakan adinda kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Artikel Berkaitan:

Mengenai kehidupan baginda sekeluarga di ibu negara, Permaisuri Agong yang berjiwa besar itu mengakui masih kekok berada di Istana Negara khususnya untuk menyesuaikan diri dengan protokol dan peraturan istana.

"It is totally a new life (Ia adalah suatu kehidupan baharu di Istana Negara). Dahulu di Pahang...walaupun saya Tengku Puan Pahang, saya bebas, boleh masak, pergi pantai, tetapi saya sedar tugas saya di sini (Istana Negara) lain, tugas saya di Pahang agak lain.

"Di sini agak 'restricted' (terhad) sedikit 'movement' (pergerakan)...mungkin sekarang tanggungjawabnya lebih kerana Tuanku now is representing the whole country (kini ketua negara),” titah baginda yang diputerikan pada 5 Ogos 1960.

Namun, Tunku Azizah menegaskan bahawa di sebalik tugas dan tanggungjawab baharu itu, secara peribadinya baginda masihlah insan seperti dahulu.

"I am still the same, I have not changed (Saya masih insan yang sama, saya tidak berubah pun)...tak adalah nak duduk melawa-lawa sahaja,” titah baginda dalam nada ceria.

Kisah cinta Tunku Azizah

Kasih suami membawa bahagia, kasih isteri membawa ke syurga. Keserasian dan kasih sayang antara puteri raja Johor yang disunting menjadi suri hati putera Pahang sejak 33 tahun lepas sering mendapat pujian rakyat jelata yang mengikuti kisah pasangan diraja ini.

Mengimbau kenangan awal perkenalan dengan Sultan Abdullah, Tunku Azizah mengakui tidak bercinta seperti pasangan lain kerana sebagai puteri yang dibesarkan dalam lingkungan istana, segala perlakuan baginda sentiasa dalam perhatian.

"Pertama kali jumpa Tuanku adalah waktu saya berumur 12 (tahun), Tuanku 13 (tahun)...(dan) 13 tahun kemudian baru kami melangsungkan perkahwinan. Ayahanda saya (Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail) cukup strict (tegas), ini kira orang lama betul. Jadi, tak ada dating (berjanji temu), tak ada keluar tengok wayang, have dinner (makan malam), tak ada langsung,” titah baginda.

Atas kekangan itu, hanya kiriman surat menjadi pengganti diri namun surat yang diterima itu juga harus melalui Almarhum ayahanda baginda sebelum sampai ke tangan Tunku Azizah.

Baginda bertitah bahawa Almarhum ayahanda baginda sentiasa mengingatkan terutama tiga puteri baginda supaya menjaga maruah sebagai anak raja. Tunku Azizah merupakan puteri ketiga daripada empat beradik.

“Almarhum ayahanda berpesan, anak orang lain boleh. Di tepi jalan pun dia boleh buat (berjanji temu) sebab orang tak akan bercakap, tapi awak tu anak sultan dan cucu sultan. Apa yang awak buat, satu dunia Johor akan bercakap. Jadi awak kena jaga maruah awak sebagai anak raja,” titah Tunku Azizah yang berkongsi pesanan titah Almarhum ayahanda, yang masih diingatinya sehingga sekarang.

Ketegasan didikan yang diterima itu turut dipraktikkan kepada empat putera dan dua puteri baginda iaitu, Yang Mulia Tengku Amir Ibrahim Shah, Yang Amat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah, Yang Mulia Tengku Muhamad Iskandar Ri’ ayatuddin Shah, Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah, Yang Mulia Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Yang Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.

Hubungan dua keluarga Diraja kembali erat

Walaupun perhubungan Seri Paduka berdua terjaga batasannya, namun keluarga Diraja Pahang dan Diraja Johor terutamanya nenenda Sultan Abdullah, Almarhum Sultan Abu Bakar dan nenenda baginda, Almarhum Sultan Ismail, amat mengharapkan pernikahan antara Tunku Azizah dan Sultan Abdullah dimeterai.

Ia bertujuan mengeratkan kembali hubungan persaudaraan antara keluarga Diraja Pahang dengan keluarga Diraja Johor, yang berasal dari jurai keturunan Sultan Abdul Jalil, yang kedua-dua anakanda baginda pernah menjadi Raja di Pahang dan Raja di Johor.

"Tok (Almarhum Sultan Ismail) tahu Almarhum ayahanda saya tegas dalam hal hubungan cinta dan tahu saya tidak boleh keluar dating (berjanji temu). Jadi, Tok suruh Tuanku yang ketika itu Tengku Mahkota Pahang turun ke Johor untuk bermain polo... ketika itu, kejap-kejap Tok titah suruh saya turun ke padang polo untuk memberi peluang saya berjumpa Tuanku," titah baginda.

Tiga minggu sebelum kemangkatan Sultan Ismail, baginda bertanyakan kepada Tunku Azizah bila cucundanya itu ingin berkahwin.

"Masa itu, saya jawab, nak kahwin dengan siapa Tok, patik tak ada boyfriend (teman lelaki). Kemudian Tok saya cakap, you ada boyfriend (teman lelaki), saya tahu... itu Pahang (merujuk kepada Sultan Abdullah) boyfriend you (teman lelaki anda).

"Saya kata lagi, nak kahwin macam mana Tok, orang tak meminang. Ketika itu, saya baharu berusia 21 tahun dan Tuanku 22 tahun. Tapi Tok kata dia nak tengok saya kahwin," titah baginda.

Namun, tiga minggu kemudian, Almarhum Sultan Ismail mangkat tanpa sempat menyaksikan pernikahan cucundanya itu.

Sultan Abdullah di mata Tunku Azizah

Berkongsi keperibadian Sultan Abdullah, Tunku Azizah bertitah: “Seri Paduka adalah insan yang paling baik hati dalam dunia, murah hati, suka bersedekah...saya tidak pernah dengar Tuanku naik suara, tak garang, baik hati, tak pernah cakap pasal orang.”

Bagaimanapun, baginda mengakui Seri Paduka adalah seorang yang sangat tegas serta mengambil serius tentang tugas dan tanggungjawab yang digalas.

"Di Pahang dulu, Tuanku akan baca 'Exco paper' (kertas Exco)...one by one (satu per satu dibaca Tuanku) (manakala) di sini, setiap Rabu sebelum nak jumpa Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad), Tuanku akan baca kabinet ‘paper’, semua sekali.

"Mungkin itu didikan daripada ayahanda dan ibunda kerana nak jadi raja adalah tanggungjawab besar. The moment (Apabila) Tuanku jadi Tengku Mahkota Pahang, hidup Tuanku bertukar...Tuanku tahu tanggungjawab baginda, Tuanku pergi melawat. He took it seriously, it is a life long job (Tuanku serius dalam melaksanakan tugas baginda, ia adalah tugas sepanjang hayat),” titah baginda.

Menyimpul harapan menjelang istiadat pertabalan itu, Tunku Azizah memanjatkan doa agar tugas berat yang diamanahkan oleh Raja-Raja Melayu, yang memilih Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16, dapat dilaksanakan Seri Paduka dengan sebaik mungkin mengikut landasan agama. - Bernama