Bukan Islam tidak perlu bimbang Piagam UMNO-Pas

Annuar ( tengah ) merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tanjung Piai di Kukup Golf Resort Pontian di sini, semalam.
Annuar ( tengah ) merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tanjung Piai di Kukup Golf Resort Pontian di sini, semalam.
A
A
A

PONTIAN - Masyarakat bukan Islam tidak perlu bimbang Piagam UMNO-Pas yang akan ditandatangani pada 14 September depan kerana ia berdasarkan Piagam Madinah.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata Piagam Madinah yang diasaskan Nabi Muhammad SAW dijadikan asas kerana kepentingan kaum bukan Islam turut dipelihara.

"Piagam Madinah ini diasaskan pada tahun pertama seterusnya menjadi perlembagaan bertulis pertama di dunia.

"Piagam dimeterai bersama Pas akan menjadi langkah permulaan bagi penyatuan Umat Islam di negara ini tanpa mengetepikan kepelbagaian kaum yang ada di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tanjung Piai di Kukup Golf Resort, di sini, petang semalam.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohamed, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan ADUN Kukup, Datuk Md. Othman Yusof.

Anuar mengingatkan pemimpin UMNO tidak mengambil jalan mudah dan leka dengan adanya Piagam UMNO-Pas untuk terus bekerja memenangi hati rakyat.

Katanya, pemimpin UMNO perlu turun ke akar umbi bagi memberikan penerangan mengenai Piagam UMNO dan Pas.

Artikel Berkaitan:

"Piagam UMNO- Pas dibina dengan asas dan prinsip agar umat Islam di negara ini mendapat hak dan pembelaan sewajarnya selain Islam tidak terus di hina,” tegasnya.

-