Persatuan Pandu Puteri platform lahirkan pemimpin

Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan keyakinan organisasi kepanduan adalah satu platform yang berupaya mencorakkan gadis muda sebagai pemimpin, sekali gus mempersiapkan mereka untuk berani memperjuangkan hak sehingga ke peringkat dunia.

Mengambil pengalaman penglibatan dalam organisasi kepanduan bermula dari Brownie dan Pandu Puteri yang banyak mengajar baginda menjadi seorang pemimpin, Tunku Azizah bertitah Pandu Puteri kini tidak hanya terhad kepada menganjurkan aktiviti perkhemahan semata-mata, sebaliknya lebih daripada itu, sejajar dengan misi melahirkan wanita berkaliber melalui penerapan ilmu, kemahiran dan nilai-nilai kepimpinan.

Tunku Azizah, yang juga Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), bertitah menerusi sumbangan dana, ahli persatuan itu turut dihantar ke luar negara bagi menghadiri kursus dan program berkaitan bagi memantapkan lagi ilmu pengetahuan, kemahiran dan keyakinan diri mereka.

“The support (Sokongan) daripada members (ahli) yang menghulur dana ini memang semua nak tengok Pandu Puteri ini jadi satu force (persatuan) yang betul-betul mendidik anak perempuan untuk menjadi future leaders of tomorrow, that they know what their rights are, they know daripada segi right, gender equality, daripada segi they are free to say what they want as well, voice of young girls (pemimpin masa hadapan, dan mereka tahu akan hak mereka, mereka tahu daripada segi hak, kesamaan gender, daripada segi mereka bebas untuk berkata apa yang mereka mahu serta suara gadis muda),” titah baginda semasa wawancara khas bersama Bernama di Istana Negara baru-baru ini sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

PPPM kini berusia 103 tahun dengan keahlian hampir 130,000 di seluruh negara.

Tunku Azizah, yang turut memegang jawatan Penaung Diraja Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) turut menzahirkan perasaan bangga dan puas hati dengan penglibatan dan pencapaian semasa gadis di negara ini dalam persatuan itu.

“I am satisfied and there is more we can do (“Saya berpuas hati dan ada banyak lagi yang kita boleh lakukan),” titah baginda.

Menzahirkan bahawa Pandu Puteri telah berjaya mendidik dirinya menjadi seorang pemimpin, Tunku Azizah mengimbau penglibatannya dalam persatuan itu sejak kira-kira 50 tahun lepas, bermula daripada peringkat Brownie pada usia sembilan tahun.

Artikel Berkaitan:

Terus bergiat aktif dalam Persatuan Pandu Puteri sejak 1981, baginda menegaskan semua jawatan yang pernah dan sedang disandangnya dalam persatuan itu adalah berdasarkan kepada pengalaman dan kerja keras baginda dari bawah.

“Dari saya kecil, sejak saya Brownie, guiding has been in my life for more than 50 years, jadi saya memang betul-betul on the ground bukan just holding the position. I earned my badges, we passed the test (kepanduan telah berada dalam hidup saya sejak lebih 50 tahun, jadi saya memang betul-betul dari bawah bukan saja memegang jawatan, saya memperoleh lencana saya, kami lulus ujian),” titah baginda.

Dalam sejarah penglibatan baginda, Tunku Azizah telah berkhidmat kepada empat isteri Perdana Menteri sepanjang 12 tahun menjadi Timbalan Yang Dipertua PPPM dan bergerak aktif dalam WAGGGS, selain pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah The Olave Baden-Powell Society.

Merindui zaman 'sibuknya' bersama-sama Pandu Puteri, Tunku Azizah bertitah walaupun terpaksa melepaskan beberapa jawatan dalam persatuan di peringkat dunia, baginda tetap secara di belakang tabir membantu pergerakan berkenaan, dan masih menjadi Penaung Diraja Sahabat Asia Pasifik, sayap pengumpul dana WAGGGS.

Tunku Azizah bertitah Sahabat Asia Pasifik adalah badan mengumpul dana di peringkat rantau bagi membekalkan sumber kewangan bagi membiayai program latihan dan projek kepada 27 negara anggota dan merupakan 'the strongest force' (pasukan paling kuat) WAGGGS dengan jumlah ahli teramai berbanding rantau lain di dunia.

Bagaimanapun titah baginda, misi utamanya sekarang adalah 'memujuk' semula Indonesia, iaitu Pramuka, yang meninggalkan WAGGGS pada 2001 untuk menyertai semula organisasi peringkat dunia itu bagi memperkukuhkan persatuan di rantau Asia Pasifik.

Tunku Azizah bertitah baginda bagi pihak lembaga pengarah WAGGGS telah beberapa kali ke Indonesia berjumpa dengan pihak berkaitan dalam usaha memastikan negara itu kembali menyertai WAGGGS.

"Kalau Indonesia masuk balik, that's is it. We are already the biggest, we will be a force to be reckoned with, that's what I want (dan itulah dia. Kita sudahpun yang terbesar, kita akan menjadi pasukan yang diiktiraf, itu yang saya mahukan)," titah baginda yang kelihatan begitu bersemangat.

Pandu Puteri, titah Tunku Azizah adalah sebahagian daripada hidupnya dan seperti mana sebelum ini, baginda menyatakan bahawa pergerakan itu adalah satu keluarga besar baginda.

“With WI (Pertubuhan Perkumpulan Perempuan) I deal with women of all ages, all races, with Pandu Puteri I deal with a young girl of all races, so this two are very important in my life (“Dengan WI (Pertubuhan Perkumpulan Perempuan) saya berurusan dengan wanita dari semua peringkat umur, semua kaum, dengan Pandu Puteri saya berurusan dengan gadis muda dari semua kaum, jadi kedua-duanya ini amat penting dalam hidup saya),” titah baginda. - Bernama