Boko Haram bunuh 23 orang awam pulang upacara pengebumian

Militan Boko Haram sering melancarkan serangan di timur laut Nigeria
Militan Boko Haram sering melancarkan serangan di timur laut Nigeria
A
A
A

ABUJA - Anggota kumpulan militan Boko Haram membunuh 23 orang awam di negeri Borno di timur laut Nigeria semalam selepas mereka menghadiri satu majlis pengebumian, kata pihak militia dan penduduk tempatan.

Serangan berlaku sekitar jam 10.30 pagi (waktu tempatan) apabila penyerang menaiki tiga motosikal melepaskan tembakan kearah sekumpulan lelaki yang dalam perjalanan pulang daripada menghadiri upacara pengebumian di daerah Nganzai berhampiran ibu kota negeri Maiduguri, kata ketua militia tempatan, Bunu Bukar Mustapha.

“Kami menemui 23 mayat dari tempat kejadian, yang berlaku pagi ini,” Mustapha memberitahu AFP.

Semua mangsa dalam perjalanan pulang ke Badu Kuluwu dari kampung Goni Abachari berhampiran tempat mereka menghadiri solat pengebumian untuk seorang saudara, kata Mustapha.

Seorang pegawai daerah Nganzai mengesahkan kejadian dan jumlah kematian.

Penduduk tempatan dan militia menemui mayat selepas mangsa yang terselamat kembali ke kampung dan memaklumkan mengenai perkara itu, kata penduduk Nganzai, Saleh Masida.

Pengganas Boko Haram sering kali menyerang daerah Nganzai.

Pada September lalu, kumpulan itu membunuh lapan orang dan mencuri haiwan ternakan di dua buah kampung di kawasan itu selepas penduduk cuba menghalangnya.

Artikel Berkaitan:

Konflik pelampau selama sedekad itu merebak ke negara jiran Chad, Niger dan Cameroon, yang mengorbankan kira-kira 27,000 nyawa dan memaksa lebih 2 juta orang melarikan diri dari kediaman mereka. – AFP