42 nelayan Bukit Pelandok terima pampasan RM1,000

Aminuddin (tiga dari kiri) dan Anwar (tengah) semasa merasmikan pengumuman projek Lexis Hibiscus 2 di Port Dickson malam tadi.
Aminuddin (tiga dari kiri) dan Anwar (tengah) semasa merasmikan pengumuman projek Lexis Hibiscus 2 di Port Dickson malam tadi.
A
A
A

PORT DICKSON - Seramai 42 nelayan Kampung Bukit Pelandok Batu 12 Pasir Panjang di sini, bakal menerima RM1,000 setiap bulan sebagai pampasan sepanjang pembinaan projek pembangunan resort terbaharu Lexis Hibiscus 2, pada tahun 2020.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata sepanjang pembinaan projek tersebut nanti, sebahagian besar kawasan laut akan ditutup dan itu akan menjejaskan pendapatan nelayan.

Katanya, disebabkan masalah itu, melalui tabung khas nelayan yang akan diperuntukkan oleh pemaju hartanah, diminta menyediakan peruntukkan sebanyak RM12 juta bagi memberi bantuan secara bulanan kepada nelayan terlibat selama tempoh lima tahun.

"Mengambil kira kepentingan dan kebajikan nelayan, kita akan memberikan bantuan bulanan sebanyak RM1,000 sepanjang tempoh pembinaan yang bermula dijangka pada pertengahan 2020.

"Bantuan ini sebagai ganti rugi dan dapatlah membantu nelayan yang tidak dapat ke laut sepanjang projek pembinaan tersebut berlangsung nanti.

"Pembangunan yang kita rancang tidak sesekali memberi kesan kepada penduduk sekitar, malah kerajaan negeri sangat mengambil berat kepada kampung nelayan, dari segi ekologi,persekitaran, malah pendidikan, peluang pekerjaan, dan kebersihan pantai di kawasan sekeliling juga diambil kita dalam pembangunan yang dirancang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Perbadanan Menteri Besar bersama pemaju, Kumpulan Kuala Lumpur Metro bagi projek pembangunan baharu Lexis Hibiscus 2, di Pasir Panjang di sini malam semalam.

Turut disaksikan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Kumpulan KL Metro, Datuk Mat Hassan Esa serta Pengarah Urusannya, Datuk Law Tak Fatt.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menurut Ahli Parlimen Port Dickson, hampir 3,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan kepada penduduk tempatan sebaik sahaja resort ini siap.

"Salah satu faedah utama usahasama ini adalah untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk setempat, selain sebagai daya tarikan pelancong datang ke Negeri Sembilan.

"Setakat ini, resort yang dibawah Lexis Hotel Group telah berjaya menarik lebih 5.2 juta pelancong datang ke Port Dickson, termasuk pelancong luar negara yang datang dari serata dunia," katanya.