Aplikasi undang-undang jenayah syariah

A
A
A

APABILA bercakap tentang undang-undang syariah ramai yang menumpukan perhatian kepada undang-undang jenayah syariah sahaja seperti hudud qisas dan takzir. Lebih teruk lagi bagi mereka yang berpandangan syariah itu hanyalah hudud semata-mata.

Bagi penulis, jenayah hudud jelas dinyatakan dalam al-Quran. Sesiapa yang menyanggahnya sama seperti menyanggah al-Quran dan boleh dipersoal akidahnya. Namun kita perlu membezakan antara orang yang menyanggah hudud dengan orang yang berpandangan hudud belum sesuai dilaksanakan lagi dengan pelbagai alasan. Pihak yang menyanggah perlu berhati-hati agar tidak mempersoalkan al-Quran.

Penulis meneliti kebanyakan pandangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak sama ada di media sosial ataupun di akhbar arus perdana. Kesilapan yang nyata bagi penulis ialah membincangkan hudud dalam konteks yang terlalu mikro sehingga tidak menggambarkan falsafah dan kecantikan hudud itu sendiri.

Penulis mengajak pembaca agar tidak menghadkan perbincangan hanya pada hudud sahaja tetapi membuka luas perbincangan kepada undang-undang jenayah dalam Islam yang juga mencakupi qisas dan takzir.

Malah kalau kita berbalik kepada al-Quran itu sendiri, nas berkaitan hudud bukan dihadkan kepada aspek jenayah sahaja tetapi sempadan ALLAH tetap berdasarkan perintah dan larangan ALLAH dan apa jua bidang.

Perbincangan di luar kotak juga perlu dibuat bukan hanya berkisar hukuman hudud itu sahaja tetapi juga aspek pembuktian, kesaksian, pengampunan (dalam kes qisas), pelasanaan dan banyak lagi. Malah trend terkini yang mementingkan maqasid al-shariah, siyasah syariah dan maslahah juga kadangkala memberi kesan kepada sesuatu hukuman.

Oleh kerana masyarakat membicarakan hudud itu berdasarkan kompartmen yang terpilih, perbahasan tersebut menjadi terlalu kecil sehingga tidak mengambil kira perkara penting lain.

Penulis merasakan adalah lebih baik kita bercakap mengenai undang-undang jenayah dalam Islam berbanding hudud sahaja. Hudud tidak boleh berdiri sendiri tanpa elemen lain yang menyempurnakan falsafahnya.

Artikel Berkaitan:

Pada pandangan penulis, undang-undang jenayah Islam yang terdiri daripada jenayah hudud, qisas dan takzir sebenarnya merentasi kuasa. Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubalnya. Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan menyenaraikan kuasa-kuasa Parlimen dan DUN berdasarkan senarai yang ada.

Senarai Pertama memperincikan hal ehwal Parlimen berkuasa membuat undang-undang manakala Senarai Kedua pula menzahirkan kuasa DUN.

Senarai Ketiga adalah senarai bersama di mana kedua-dua Parlimen dan DUN mempunyai kuasa membuat undang-undang dalam hal perkara yang dinyatakan di dalamnya.

Secara ringkasnya bolehlah penulis menyatakan hal perkara jenayah terletak di dalam Senarai Pertama di mana Parlimen mempunyai kuasa membuat undang-undang. Hal perkara jenayah ini termasuklah mencuri dan merompak (hudud), membunuh, memukul dan sebagainya (qisas) dan beberapa jenayah takzir lain.

Manakala bagi kesalahan zina, murtad, qazaf, minum arak (hudud) dan beberapa jenayah lain seperti khalwat, poligami tanpa kebenaran, tidak berpuasa dan lain-lain (jenayah takzir lain) terletak di bawah kuasa DUN.

Satu pakej

Persoalannya sekarang bolehkah kesemua jenayah hudud, qisas dan takzir diletakkan di bawah satu pakej di bawah kuasa DUN?Mungkin peruntukan Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan boleh digunakan bagi hal perkara yang tidak dinyatakan di bawah kuasa DUN.

Namun sekiranya Perkara 76A itu ingin diguna pakai, apakah Rang Undang-Undang Persendirian yang akan dikemukakan Pas boleh dikebelakangkan tarikh penguatkuasaannya?

Persoalan itu agak sukar dijawab juga. Apatah lagi bagi hal perkara di bawah kuasa DUN pun terdapat Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 yang menghadkan DUN hanya boleh mengadakan kesalahan melanggar perintah agama Islam yang mana hukumannya tidak boleh melebihi RM5,000 denda, tiga tahun penjara dan enam kali sebatan.

Penulis percaya jika umat Islam benar-benar ikhlas ingin melaksanakannya, kita boleh duduk bersama mencari jalan terbaik bagaimana mahu menjadikan ia realiti. Bukan sahaja kita perlu menegaskan hukuman tetapi kaedah hukuman lain seperti yang bersifat restoratif, gantirugi (diyat) dan mediasi juga perlu dilaksanakan.