Peminta atau pemungut sedekah?

A
A
A

SALAH satu daripada kaedah sering digunakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah meminta derma. Pihak yang meminta derma perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan agar tidak disalah gunakan.

Begitu juga pihak masjid dan surau sering meminta agar umat Islam menginfak wang bagi penambahbaikan ruang solat dan sebagainya. Meminta derma berbeza dengan meminta sedekah.

Bagi orang yang meminta sedekah selalunya akan duduk secara statik dan menghulurkan bekas untuk sesiapa memberikan wang. Sesetengah premis makanan meletakkan tong atau tempat untuk sesiapa menderma atas nama pertubuhan dan sebagainya tetapi kini kaedahnya berbeza dan mengelirukan.

Namun mutakhir ini kita susah untuk membezakan antara meminta derma dengan meminta sedekah. Sebabnya orang yang meminta sedekah menggunakan terma 'menderma' dan strategi ini menyebabkan ramai yang menderma sedangkan kita tidak tahu asal usul dan ke mana wang yang kita dermakan itu.

Ironinya, kita sering didatangi oleh pihak yang meminta sedekah dengan pelbagai kaedah terutamanya ketika sedang menjamu selera di restoran. Teknik pemujukan itu kadang-kadang mengundang rasa kasihan.

Namun setiap kali muka yang sama dan penggunaan teknik menjual ubat oleh remaja atau mengheret orang buta atau pendatang asing yang menghulur dokumen kebenaran mengutip derma, membuatkan kita berfikir beberapa kali untuk menderma.

Betulkah mereka ini orang susah atau satu sindiket? Adakah mereka ini meminta sedekah atau memungut derma? Lebih menghairankan apabila remaja yang mendakwa daripada sekolah tahfiz atau rumah anak yatim meminta derma sehingga jam 12 tengah malam atau awal pagi. Cukup menggusarkan.

Jika benar seperti didakwa sebagai pelajar sekolah, kenapa sehingga larut malam dipaksa meminta derma? Lebih pelik lagi anak-anak ini menjual 'ubat kuat.'

Artikel Berkaitan:

Sampai bila keadaan itu terus berlaku? Kita dilambakkan dengan adegan meraih simpati setiap kali ke premis makanan. Sehingga rata-rata kalangan pengunjung restoran sudah tiada simpati dan tidak kisah dengan hanya menggeleng-geleng kepala apabila didatangi golongan itu.

Pemerhatian penulis, rata-rata kaum wanita mudah tergoda dan menderma kerana kasihan. Sedangkan analisis dan siasatan oleh pihak berkuasa menunjukkan rata-rata peminta sedekah dalam apa bentuk sekali pun merupakan sindiket dan cara jalan mudah segelintir pihak mendapat duit cara mudah.

Sesuatu tindakan menyeluruh perlu dilakukan untuk membanteras aktiviti meminta derma atau sedekah tanpa kebenaran.

Disyorkan kerajaan merangka dasar atau garis panduan mencegah perbuatan meminta sedekah di khalayak ramai yang kian meningkat. Langkah itu perlu bagi mengelak golongan tertentu mengambil kesempatan meraih keuntungan daripada kegiatan meminta sedekah di jalanan.

Jika benar peminta sedekah ini bermasalah, masyarakat seharusnya menggalakkan golongan itu yang beragama Islam datang ke pejabat agama untuk mendapatkan bantuan. Mereka ialah satu daripada asnaf yang boleh menerima wang zakat fitrah.

Masyarakat juga harus dididik supaya tidak mudah menghulurkan derma hanya kepada peminta sedekah di tepi jalan sebaliknya menyalurkan derma kepada badan bertanggungjawab.

Hadirlah ke masjid atau surau kerana di tempat itu tersedia peti untuk kita menderma.

Tindakan drastik perlu dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan dengan memantau dan mengambil tindakan kepada peminta derma dan sedekah yang menyamar. Juga perlu jejaki sindiket dan dalangnya.

Bagi pendatang asing, pihak imigresen perlu terus menghambat mereka yang mencari jalan mudah dengan meminta sedekah baik di tepi jalan, persimpangan atau di premis makanan.

Jika kegiatan meminta sedekah berleluasa, yang tidak bertanggungjawab mendapat faedah manakala yang wajar menerima tidak mendapat hak.

Orang yang meminta sedekah menggunakan terma 'menderma' dan strategi ini menyebabkan ramai yang menderma sedangkan kita tidak tahu asal usul dan ke mana wang yang kita dermakan itu."