Festival Kenyir jadi tarikan Tahun Melawat Malaysia 2020

Sivarasa (kiri) melihat kuih tradisional masyarakat Hulu Terengganu selepas perasmian Festival Kenyir 2019 di Pengkalan Gawi Tasik Kenyir semalam.
Sivarasa (kiri) melihat kuih tradisional masyarakat Hulu Terengganu selepas perasmian Festival Kenyir 2019 di Pengkalan Gawi Tasik Kenyir semalam.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Festival Kenyir di Tasik Kenyir, Terengganu akan dijadikan sebagai salah satu daya tarikan pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa berkata, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan kerajaan negeri perlu merancang dari sekarang aktiviti yang bersesuaian sempena TMM 2020.

Menurutnya, Festival Kenyir merupakan acara tahunan sejak 1994 yang dahulunya dikenali sebagai Kenyir Eco Festival.

“Telah terbukti festival ini berjaya menarik perhatian pengunjung ke Tasik Kenyir. Festival Kenyir ini akan menjadi acara penting untuk program di peringkat Pusat sempena TMM 2020 tahun depan.

“Diharap Ketengah dapat merancang projek baharu bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran Tasik Kenyir ke seluruh dunia dengan pelbagai tarikan sendiri termasuk pasaran baharu terutama ke negara Timur Tengah,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Kenyir 2019 di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini.

Beliau mewakili Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Sivarasa berkata, tahun ini kementerian melalui Ketengah memperuntukkan sebanyak RM38 juta bagi melaksanakan projek penyediaan infrastruktur komersial dan program ameniti sosial.

Sementara itu, mengulas mengenai Festival Kenyir 2019 yang berlangsung selama empat hari bermula 25 Julai dan berakhir hari ini, beliau berkata, sebanyak 35 acara diadakan dengan tiga keunikan tersendiri iaitu Dapur Kenyir, Kenyir Street dan sukan air yang sinonim dengan Tasik Kenyir.

Artikel Berkaitan:

“Dapur Kenyir adalah penjenamaan kedai makan yang menyajikan hidangan berasaskan ikan sungai dan makanan tradisi penduduk tempatan.

"Kenyir Street pula menonjolkan seni kraf tangan dan seni budaya di bawah satu bumbung.

“Sukan air pula sememangnya cukup dikenali di Tasik Kenyir. Sasaran jumlah pengunjung sepanjang festival ialah seramai 80,000 orang manakala pendapatan jualan sebanyak RM1.6 juta,” katanya.