Penduduk bimbang dua malam gajah ceroboh kampung

Kira-kira 200 pokok pisang musnah selepas gajah menceroboh masuk kampung.
Kira-kira 200 pokok pisang musnah selepas gajah menceroboh masuk kampung.
A
A
A

KOTA TINGGI - Sekurang-kurangnya 200 batang pokok pisang milik penduduk musnah selepas Kampung Temenin Baru di sini dicerobohi gajah liar sejak malam semalam.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Temenin, Tomiran Perman berkata, dalam kejadian itu turut menyebabkan kira-kira 80 batang pokok kelapa sawit, 10 batang pokok kelapa dan pagar sebuah rumah penduduk rosak.

Menurutnya, pencerobohan itu merupakan kejadian kali ketiga berlaku selepas kira-kira 10 tahun haiwan berkenaan tidak memasuki kampung itu.

"Malam semalam gajah tersebut masuk kawasan kampung kira-kira jam 3 pagi dan sangat hampir dengan rumah penduduk iaitu hanya satu meter sahaja.

"Masa itu pokok-pokok pisang banyak yang musnah kerana dimakan gajah, penduduk yang sedang tidur tidak perasan kehadiran gajah.

"Susulan itu penduduk kampung mengambil inisiatif berjaga malam tadi. Kami membuat unggun api. Namun gajah turut menceroboh kampung dan memusnahkan sebahagian tanaman sawit penduduk pula," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Pagar di rumah salah seorang penduduk yang rosak susulan kehadiran gajah di Kampung Temenin Baru.
Pagar di rumah salah seorang penduduk yang rosak susulan kehadiran gajah di Kampung Temenin Baru.

Tambahnya, penduduk amat bimbang dengan keselamatan diri susulan kehadiran haiwan liar itu ke dalam kampung.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, jika sebelum ini gajah memasuki kampung jiran, Kampung Lukut namun kini sudah memasuki kampung mereka pula.

"Kita sudah hubungi Perhilitan untuk tindakan selanjutnya. Bagaimanapun kami masih tetap bimbang dengan keselamatan diri.

"Kita harap santuari gajah yang dibina akan cepat disiapkan agar konflik gajah ini akan selesai segera," katanya.