1,428 KHM akan ditubuhkan

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo mengibarkan Jalur Gemilang bersama orang ramai pada program Merdeka@Komuniti 2019 di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Jelapang hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo mengibarkan Jalur Gemilang bersama orang ramai pada program Merdeka@Komuniti 2019 di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Jelapang hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

IPOH - Jabatan Penerangan menyasarkan 1,428 Komuniti Harapan Malaysia (KHM) untuk ditubuhkan di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, KHM diwujudkan sebagai rakan strategik kerajaan melalui platform yang disediakan Jabatan Penerangan.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 658 KHM telah diluluskan penubuhannya melalui fasa pertama manakala fasa kedua akan dibuat secara berperingkat.

"Saya sangat gembira melihat jumlah KHM yang berjaya ditubuhkan. Saya yakin KHM dapat memikul tanggungjawab dalam usaha memasar, meningkatkan kefahaman dan penghayatan orang awam terhadap dasar-dasar kerajaan di samping memperkasakan jaringan komunikasi serta kerjasama rakyat pelbagai kaum.

"Ahli Jawatankuasa KHM juga bertanggungjawab membantu mengumpul segala maklum balas mengenai harapan, aspirasi dan isu-isu yang dihadapi komuniti setempat.

"Ini penting supaya maklumat dari bawah ini sampai kepada kerajaan untuk diambil tindakan sewajarnya," katanya kepada berucap merasmikan Program Merdeka @ Komuniti Peringkat Negeri Perak 2019 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Jelapang di sini.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang mewakili Menteri Besar Perak bersama-sama pemimpin negeri yang lain.

Gobind berkata, daripada jumlah yang disasarkan itu, sebanyak 142 KHM akan ditubuhkan di Perak dengan jangkaan keahlian 7,000 orang.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Gobind berkata, sempena sambutan bulan kemerdekaan mulai Ogos sehingga 16 September, terdapat tiga program utama yang akan diadakan.

Katanya, program tersebut termasuklah Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 2 hingga 4 Ogos di Dataran Pahlawan Megamall, Melaka yang akan dirasmikan perdana menteri.

Beliau berkata, selain itu Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong di Putrajaya manakala sambutan Hari Malaysia pada 16 September pula akan berlangsung di Padang Merdeka, Kuching, Sarawak.

"Pelbagai program pemupukan semangat patriotisme telah disusun oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama agensi di bawahnya serta rakan-rakan daripada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), KHM dan pelbagai pihak lagi.

"Antara program yang dirancang sepanjang Bulan Kebangsaan adalah seperti Merdeka@Komuniti, Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan, Pertandingan Pidato Kenegaraan, Pertandingan Pengisahan Kenegaraan, Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Pameran Bersepadu Caring Bridge dan pelbagai lagi program yang melibatkan penyertaan rakyat," katanya.

Menurut Gobind, penganjuran program seperti itu bertujuan menyuburkan semangat patriotik dan memupuk kemakmuran bersama dalam kalangan rakyat Malaysia.