Jumlah perokok berhenti merokok di Perak masih rendah

Sivanesan menyempurnakan gimik perasmian Kempen Kesihatan 'Jom Quit, Rokok Merbahaya' di Klinik Kesihatan Buntong hari ini.
Sivanesan menyempurnakan gimik perasmian Kempen Kesihatan 'Jom Quit, Rokok Merbahaya' di Klinik Kesihatan Buntong hari ini.
A
A
A

IPOH - Jumlah perokok yang berjaya berhenti merokok selepas mengikuti Klinik Berhenti Merokok anjuran Kementerian Kesihatan di seluruh Perak masih ditahap rendah.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan berkata, data tahun lalu menunjukkan seramai 521 perokok mendaftar untuk berhenti rokok dan daripada jumlah itu, hanya seramai 128 atau 24.6 peratus berjaya berhenti merokok.

"Rawatan berhenti merokok secara percuma di sediakan di klinik-klinik kesihatan di Malaysia, tetapi sangat sedikit bilangan perokok yang mengambil peluang ini.

"Kebanyakan mereka hanya berbuat demikian setelah disahkan mengidap penyakit yang disebabkan tabiat merokok atau pencemaran asap," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Kesihatan 'Jom Quit, Rokok Merbahaya' di Klinik Kesihatan Buntong hari ini.

Justeru pihaknya menggesa semua 87 klinik kesihatan di negeri ini terutama di bandar-bandar utama mempergiat kempen berhenti merokok dalam usaha mengawal tabiat berkenaan daripada terus dijadikan amalan.

"Saya selaku Exco yang bertanggungjawab akan usahakan menyediakan peruntukan untuk kempen ini, paling penting kita mahu membantu lebih ramai perokok berhenti.

"Seperti kempen berterusan dilakukan Klinik Kesihatan Buntong berjaya menunjukkan peningkatan berhenti merokok sejak lima tahun lalu iaitu daripada 64.7 peratus pada 2017 kepada 88.2 peratus tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, pada penghujung 2020, dianggarkan kematian akibat penyakit berkaitan penggunaan produk tembakau mencecah 10 juta orang di seluruh dunia, berbanding empat juta orang sekarang.

Di Malaysia pula katanya, dinyatakan setiap hari ada antara 45 hingga 59 remaja di bawah usia 18 tahun mula merokok.

Artikel Berkaitan: