Ridhuan Tee, isteri tabah diuji sakit kronik


Ridhuan Tee sedih mengenangkan nasib kedua orang anaknya yang tidak mempunyai status warganegara.
Ridhuan Tee sedih mengenangkan nasib kedua orang anaknya yang tidak mempunyai status warganegara.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Sebuah keluarga yang menyewa di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam di sini bukan sahaja diuji dengan kesempitan hidup malah kedua suami isteri menghidap sakit kronik.

Ridhuan Tee Abdullah, 43, disahkan menghidap penyakit 'Raynoud' sejak 2005 sehingga kehilangan kesemua jari tangan akibat pembedahan.

Isterinya Nuraini Saidi, 57, pula mempunyai kanser tulang atau' Chordoma' hingga tidak mampu bergerak sendiri selain pernah menjalani beberapa kali pembedahan termasuk kali terakhir Jun lalu.

Ridhuan Tee berkata, lebih menyedihkan dua orang anaknya yang lambat didaftarkan kelahiran masih tidak memiliki status warganegara memandangkan isteri yang melahirkan anak kembar mereka pada tahun 2005 menghilangkan diri.

"Selepas bersalin belum sempat daftarkan kelahiran anak kembar kami, isteri saya ketika itu telah menghilangkan diri dan meninggalkan kami, nak lagi ketika itu seorang anak kami menghidap sakit jantung.

"Saya reda dengan dugaan ini cuma terkilan anak tidak memiliki warganegara dan kerana masalah itu juga sejak tiga tahun lalu kedua-dua anak tidak lagi bersekolah disebabkan masalah dokumentasi.

"Saya kasihan melihat mereka yang terpaksa menanggung semua ini sedangkan mereka lahir di Malaysia dan ibu mereka serta saya juga warganegara Malaysia cuma tiada butiran peribadi ibu mereka," katanya.

Menurutnya, biarpun diuji dengan masalah kesihatan, namun dia yang memeluk Islam pada tahun 2001 tidak pernah sesekali berasa menyesal dan berharap dugaan itu akan lebih menguatkan ketakwaannya kepada ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan:

"Jika diikutkan saya lafaz syahadah pada 1999 di Istanbul sebelum surat dikeluarkan pada 2001 dan membuat surat akuan sumpah di Makhamah Tinggi Temerloh, Pahang. Saya berkahwin dengan Nuraini ketika anak kembar berumur 3 tahun.

"Disebabkan masalah kewangan kami tinggal di sebuah rumah yang turut didiami keluarga lain, namun bersyukur Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) membantu membayarkan sewa rumah ini," katanya.

Mohd Leow (dua dari kanan) menziarahi keluarga Ridhuan Tee yang diuji pelbagai dugaan. Sebuah katil mudah alih turut diberikan pada pertemuan di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam hari ini.
Mohd Leow (dua dari kanan) menziarahi keluarga Ridhuan Tee yang diuji pelbagai dugaan. Sebuah katil mudah alih turut diberikan pada pertemuan di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam hari ini.

Ridhuan Tee berkata, dia yang dulu bekerja sebagai tukang masak dan dibantu isterinya tidak dapat meneruskan kerjaya itu dan kini mengambil upah mencuci pinggan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

"Tapi saya syukur dapat bantuan wang tunai bulanan selain bantuan makanan daripada MAIM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi bantuan Orang Kurang Upaya (OKU).

"Saya juga dapat bantuan am lain untuk ringankan bebanan termasuk kos perubatan isteri yang mencecah RM1,000 dan masih menjalani rawatan susulan di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru.

"Alhamdulillah syukur masih ada yang prihatin dan membantu kami terutama MAIM dan zakat Melaka sejak saya memeluk Islam hingga sekarang," katanya.

Menurut Nuraini, dia hanya mampu berdoa supaya kedua-dua anaknya yang masih tidak mendapat status warganegara dipermudahkan urusan kelulusan itu demi masa depan mereka berdua.

"Saya sedih dan kasihan bila mereka tidak lagi bersekolah kerana tak ada dokumen warganegara, jika sesuatu yang berlaku pada suami di mana kami bertiga ingin pergi memandangkan saya warganegara Indonesia?

"Tolonglah bantu kami, saya memang sedih setiap kali mereka beritahu mahu ke sekolah tapi apakan daya dan harap ada penyelesaiannya," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendaftar Mualaf (MAIM) Mohd Leow Abdullah berkata, MAIM membantu keluarga terbabit sejak 15 tahun lalu hingga sekarang termasuk bantuan bulanan RM950.

"MAIM juga salurkan bantuan yang diperlukan terutama sekiranya keluarga berkenaan mahu mendapatkan rawatan susulan di Johor bagi meringankan beban. Selain bantuan yang dihulurkan, kita juga berharap ada pihak termasuk syarikat korporat sudi membantu keluarga ini.

"Kita juga membantu anaknya dapat kembali ke sekolah dan lebih penting mencari tempat tinggal lebih sesuai disebabkan rumah sewa ini didiami dua keluarga tiada pertalian keluarga dan anak-anak perempuan Ridhuan meningkat remaja," katanya.