Pembonceng maut, motosikal rempuh bas

Keadaan kereta dan bas selepas terbabit dalam kemalangan berkenaan.
Keadaan kereta dan bas selepas terbabit dalam kemalangan berkenaan.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang diboncengnya melanggar bahagian belakang sebuah bas pekerja dalam satu kemalangan di KM9.7 Lebuhraya Link Kedua, di sini malam tadi.

Nahas yang berlaku kira-kira jam 10.45 malam itu turut menyaksikan rakan kepada mangsa yang merupakan penunggang motosikal berkenaan cedera parah dan masih menerima rawatan di hospital Sultanah Aminah (HSA).

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila bas cuba untuk mengubah laluannya.

"Sebelum kejadian, bas dipandu secara perlahan dan cuba untuk menukar laluan kerana terdapat satu kemalangan di hadapannya. Difahamkan, pemandu bas juga sudah menyalakan lampu kecemasan (hazard light).

"Tindakan itu kemudiannya mengakibatkan motosikal dinaiki kedua-dua mangsa ini bersama sebuah kereta jenis BMW Z4 gagal memberhentikan kenderaannya lalu merempuh bahagian belakang bas berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, perlanggaran itu mengakibatkan dua mangsa lelaki yang menaiki motosikal berkenaan cedera parah sebelum dikejarkan ke HSA untuk mendapatkan rawatan.

"Kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi, polis menerima laporan daripada keluarga yang memaklumkan mangsa berusia 44 tahun telah meninggal dunia manakala rakannya berusia 31 tahun masih dirawat.

"Selain itu, dua lelaki warganegara Singapura yang menaiki kereta BMW masing-masingnya berusia 32 dan 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ketika kejadian itu bas yang dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun turut membawa 24 orang pekerja namun semuanya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.