Bakar rumah selepas bergaduh dengan bapa

Salah seorang mangsa kebakaran, Mohd Arif Fikri Abd Rahman melihat keadaan motosikalnya yang terbakar di Kampung Melayu, Kluang.
Salah seorang mangsa kebakaran, Mohd Arif Fikri Abd Rahman melihat keadaan motosikalnya yang terbakar di Kampung Melayu, Kluang.
A
A
A

KLUANG - Polis menahan seorang lelaki berumur 24 tahun selepas disyaki menyebabkan kebakaran 10 buah rumah di Lorong Dua, Jalan Dahlia Kampung Melayu di sini kira-kira jam 6 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, siasatan awal mendapati suspek yang tinggal di kawasan tersebut dikatakan tidak berpuas hati dengan bapanya sebelum mengambil petrol dan membakar hadapan rumah bapanya itu.

"Api marak telah merebak ke rumah-rumah bersebelahan yang kebanyakannya rumah sewa kampung jenis teres iaitu separuh bata dan kayu. Sebanyak sembilan rumah dan satu stor menyimpan barang-barang lama musnah dijilat api.

"Suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian dan hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku membakar rumah bapanya dengan petrol selepas bergaduh dengan bapanya selain suspek juga dipercayai menghidapi masalah mental (gangguan halusinasi)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.

Katanya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut dan setakat ini sebanyak lapan laporan polis telah dibuat.

"Jumlah mangsa yang terlibat di dalam kejadian ini adalah seramai 28 orang. Kerosakan pula membabitkan sebuah lori, tiga motosikal, pelbagai barangan elektrik, dokumen penting dan barangan kemas manakala jumlah kerugian masih belum dikenal pasti.

"Kesemua mangsa termasuk seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU) dan lapan warganegara Myanmar yang merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian kini ditempatkan sementara di Balai Raya Rumah Murah Kluang 2 di Kampung Melayu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

ARTIKEL BERKAITAN:https://www.sinarharian.com.my/article/40159/BERITA/Tragedi/10-rumah-separa-kekal-musnah-dijilat-api