Arab Saudi sedia bantu NGO Antarabangsa

Mustapha (kanan) bersalaman dengan Sheikh Abdul Rahman ketika mengadakan kunjungan di pejabat Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.
Mustapha (kanan) bersalaman dengan Sheikh Abdul Rahman ketika mengadakan kunjungan di pejabat Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Arab Saudi bersedia untuk membantu dan menyokong usaha badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini bagi memartabatkan lagi perpaduan ummah dan kesejahteraan sejagat.

Perkara itu dinyatakan sendiri Penasihat Islam Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Sheikh Abdul Rahman Ibrahim Al-Robaian kepada Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican ketika mengadakan pertemuan di pejabatnya di sini.

Menurut Mustapha lagi, antara perkara lain yang turut disentuh adalah mengenai usaha untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dengan NGO Antarabangsa yang banyak memainkan peranan di negara-negara ASEAN khususnya di Kemboja dan Thailand.

“Memandangkan Kedutaan Arab Saudi tiada di Kemboja, jadi beliau mahukan saya selaku Ketua NGO Antarabangsa berperanan membantu masyarakat di negara itu dengan pelbagai bantuan.

“Antaranya bantuan sejadah, telekung dan lain-lain keperluan untuk umat Islam di Kemboja,” katanya di sini hari ini.

Jelasnya, Sheikh Abdul Rahman turut berharap agar NGO Islam di Malaysia akan terus memainkan peranan yang aktif untuk mengutamakan perpaduan dan keharmonian sesama NGO.

“Kita (NGO Islam) mesti menjalin kerjasama erat supaya tidak timbul salah faham dan apa yang penting ia perlu bersandarkan ajaran al-Quran dan Sunnah agar sama-sama dapat membangun ummah demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Terdahulu, Mustapha yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam NGO Antarabangsa telah berjaya membantu membina lima masjid, tiga sekolah agama, 10 surau dan 4,000 telaga di kawasan penempatan Islam di Kemboja.

Artikel Berkaitan: