Malaysia Airlines sediakan penerbangan sewa khas KL-Istanbul

A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines Bhd (MAB) menjalin kerjasama dengan Turkish-Dorak Holdings untuk menyediakan penerbangan sewa khas antara Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul mulai Oktober hingga Disember 2019.

Perjanjian bagi tempoh tiga bulan itu yang ditandatangani antara syarikat penerbangan kebangsaan dan Turkish-Dorak pada Jumaat akan menyaksikan syarikat penerbangan itu mengendalikan penerbangan sewa khas tiga kali seminggu, menggunakan pesawat Airbus 330 miliknya.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan MAB Kapten Izham Ismail berkata susulan pemeteraian perjanjian itu, Malaysia Airlines akan menjadi syarikat penerbangan Malaysia yang pertama untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul, sejak Malaysia Airports Holdings Bhd mengambil alih lapangan terbang itu pada 2015.

"Sebagai syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia, kami merupakan titik hubungan bagi Malaysia, dan titik hubungan untuk pelawat mengalami hospitaliti Malaysia.

"Kami berharap menerusi perjanjian ini, kami dapat mempromosikan lagi Malaysia kepada Turki dan juga menarik pasaran baharu untuk melawat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Perjanjian itu ditandatangani antara Hazman Hilmi Sallahuddin, anggota kanan pasukan pengurusan MAB dan Ahmet Serdar Körükçü, pengerusi Lembaga, Dorak Holdings. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia