Ringgit dijangka didagangkan berhati-hati minggu depan

A
A

RINGGIT Malaysia dijangka didagangkan berhati-hati antara paras 4.10 dan 4.13 berbanding dolar AS minggu depan, berikutan pelabur sedang menunggu keputusan dua mesyuarat penting minggu depan iaitu perbincangan Amerika Syarikat (AS) dan China di Shanghai dan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC).

Rakan kongsi pengurusan Vanguard Markets Pte Ltd Stephen Innes berkata hasil perbincangan Shanghai merupakan titik sensitif kepada pelabur berikutan sedikit sahaja perubahan mampu mempengaruhi pasaran.

"Pertikaian perdagangan AS-China merupakan isu sensitif kerana keputusannya akan memberi kesan terhadap perniagaan di seluruh dunia," katanya.

Berhubung mesyuarat FOMC, katanya ketika bank-bank pusat global mengurangkan unjuran dengan melaksanakan pengurangan kadar faedah, ringgit mempunyai peluang untuk naik lebih tinggi.

Perbincangan perdagangan AS-China akan berlangsung Selasa depan (30 Julai), manakala mesyuarat FOMC akan diadakan pada Selasa dan Rabu.

Sementara itu, Melaka Securities Sdn Bhd, dalam nota penyelidikan berkata dengan faktor luaran kekal tidak menentu, mata wang tempatan menyusut kepada purata RM4.15/AS$1.00 pada suku kedua 2019 (2Q2019) berbanding 4.09/AS$1.00 pada 1Q2019.

"Sementara itu, harga minyak mentah meneruskan aliran meningkat, bergerak pada permulaan 2Q2019 selepas output OPEC menyusut bagi empat bulan berturut-turut pada Mac 2019," katanya.

Pada 6.30 petang, penanda aras minyak mentah Brent berada pada paras AS$63.69 setong.

Untuk minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS susulan sentimen bagi pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan, pertikaian perdagangan AS-China dan pergerakan harga minyak.

Pada asas Jumaat-Jumaat, ringgit berada pada paras 4.1180/1210 berbanding 4.1100/1130 pada Jumaat minggu lepas berbanding dolar AS.

Mata wang tempatan didagangkan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0091/0118 daripada 3.0236/0269 pada Jumaat minggu ini dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7905/7936 daripada 3.8165/8207.

Ia juga meningkat berbanding pound Britain kepada 5.1211/1265 daripada 5.1474/1519 dan meningkat berbanding euro kepada 4.5879/5920 daripada 4.6184/6234. -Bernama